Nasional
Anwar tertarik dengan kenderaan berkuasa hidrogen, enjin lebih senyap
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berkesempatan menaiki kenderaan menggunakan sel bahan api hidrogen bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang di sini hari ini, jelas tertarik dengan kenderaan berkuasa hidrogen itu yang menurutnya lebih senyap berbanding kenderaan menggunakan bahan api petrol.
Memetik BERNAMA, Chang berkata dalam perjalanan singkat menaiki kenderaan jenis Toyota Mirai itu, dari Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi ke bangunan Perdana Putra, perdana menteri sempat bertanya beberapa perkara mengenai perkembangan ekosistem bahan api hidrogen dalam negara.
“Perdana Menteri amat berminat. Tanggapan pertama beliau – katanya enjin sangat senyap.
“Maksudnya dia rasa senyap bila menaiki kereta ini berbanding kereta yang guna minyak (bahan api petrol),” kata Chang pada sidang media selepas menghadiri Majlis Demonstrasi Penggunaan Mobile Hydrogen Refueling Unit dan Kenderaan Berkuasa Hidrogen hari ini.
Chang berkata tidak banyak perkara yang dikongsikan oleh Anwar kerana jarak perjalanan hanya mengambil masa kira-kira lima minit sahaja, namun riak wajah dan gaya perbualan menunjukkan pemimpin nombor satu negara itu memang berminat dengan kenderaan berkenaan.
Toyota Mirai merupakan kenderaan hidrogen jenis sedan yang pertama di Semenanjung.
Terdahulu Anwar diberikan penerangan mengenai Mobile Hydrogen Refueling Unit dan kenderaan berkuasa hidrogen oleh Pengurus Besar UMW Motor Jason Ong, dan perdana menteri turut menyaksikan demonstrasi pengisian semula hidrogen ke kenderaan berkuasa hidrogen. – SM