Bukan pertandingan ceramah, tapi pertandingan isi dan raih sokongan – Anwar
PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bimbang dengan jumlah kehadiran para penyokong pada ceramah-ceramah Pakatan Harapan (PH) kerana Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai bukan pertandingan ceramah.
Katanya, kehadiran masyarakat Tanjung Piai ke ceramah pembangkang bukannya petanda ceramah dan kempen Pakatan Harapan kurang mendapat sambutan.
Katanya, kehadiran yang ramai pada ceramah pembangkang merupakan perkara biasa sama seperti suasana semasa beliau dalam pembangkang dahulu, iaitu lebih ramai hadir mendengar ceramah beliau sebagai Ketua Pembangkang dan penggerak PH.
“Tetapi keadaan sekarang tidak sama dan telah berubah. Isunya mungkin sama mengajak orang lain mendengar ceramah tidak ada masalah, tetapi isu substantik tidak berubah sebab peringkat awal mereka nak dengar sebelah sana dan saya ucapkan terima kasih sebab kehadiran bertambah.
“Saya percaya lebih ramai hadir malam ini, dan bukan pertandingan ceramah (mana paling ramai) tapi pertandingan isi dan raih sokongan,” katanya dalam sidang media selepas High Tea dan sembang santai di Cabang PKR Tanjung Piai, di Pontian hari ini.
Malah katanya, berdasarkan laporan yang diterima daripada jentera PH mendapati ramai berpuas hati dan terdapat perubahan ketara di kawasan pengundi Cina dalam beberapa hari lalu yang membayangkan calon PH, Karmaine akan menang di Tanjung Piai.
Anwar berkata, dalam sesi taklimat mengenai proses pengundian di Tanjung Piai, barisan kepemimpinan berkongsi keluhan rakyat tentang beberapa isu.
“Maka saya merasakan meraka tidak perlu mengundi pembangkang sebab kita kerajaan PH mendengar keluhan petani, nelayan, pekebun kecil, pengangguran pelajar, kemudahan kesihatan, pendidikan dan sebagainya.
“Saya datang untuk meningkatkan sokongan itu dan memastikan jentera PKR juga sentiasa bersama calon kerana perlu difahamkan kita baru ambil kuasa dan tidak semestinya harus dokong pembangkang,” ujarnya.
Mengenai dakwaan PH tidak begitu serius mengutamakan satu peratus pengundi India, Anwar menafikan andaian itu.
“Itu tidak benar kononnya kita tak beri tumpuan, kita dapat taklimat dan beberapa pemimpin India berkampung di situ tentunya ada dari DAP dan jentera PPBM dan PAN serta PKR dekati mereka sambil mendengar dan menyelesaikan masalah mereka,” katanya.