Anwar Ibrahim sebagai PM pilihan kedua – Amanah, DAP
PARTI DAP dan Amanah hairan dengan kenyataan Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini yang memilih Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri walaupun cadangan itu gagal mendapat sokongan majoriti.
Ini kerana Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) yang dipengerusikan Anwar pada 30 Mei lalu hanya sokongan dari 96 Ahli Parlimen dalam tempoh masa yang dipersetujui.
Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad dan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Loke Siew Fook dalam kenyataan berkata, 38 ahli Parlimen PKR, DAP (42) Amanah (11) dan lima ahli PPBM termasuk Tun bersama dengan Anwar.
Bagaimanapun, usaha terakhir Anwar untuk mendapatkan sokongan Sabah dan Sarawak melalui parti GPS dan Warisan pula tidak berjaya.
“Mesyuarat tersebut memutuskan bahawa sekiranya pilihan pertama yang mencalonkan Anwar sebagai calon Perdana Menteri tidak berjaya mendapat sokongan, maka pilihan kedua yang menamakan Tun Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri dan Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri pula dikemukakan.
“Sekiranya pilihan satu gagal mendapat sokongan yang mencukupi, adalah diharapkan PKR kembali kepada keputusan mesyuarat iaitu menerima pilihan kedua,” katanya.
Menurutnya, mereka berharap usaha untuk mendapatkan sokongan melalui pilihan kedua boleh dilakukan sepertimana dipersetujui kerana pentadbiran kerajaan PN adalah jelas mendatangkan kerosakan kepada institusi dan kewangan negara.
Terdahulu, PKR hari ini memilih untuk menolak cadangan bagi mencalonkan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri ke-9.
Sebaliknya Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR telah mengadakan mesyuarat khas bersama ahli-ahli Parlimen PKR hari ni sebulat suara memilih Presiden parti itu Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon PM-9.
“PKR tetap terbuka untuk berbincang dengan semua pihak termasuk Tun Dr Mahathir demi usaha menyelamatkan Malaysia dan mengembalikan mandat rakyat ke tempatnya,” katanya. – SM