Annuar Musa akan sokong DAP jika dasar perjuangannya diubah
TAN Sri Annuar Musa berkata, beliau tidak ada masalah bekerjasama DAP jika parti itu mengubah dasarnya iaitu konsep Malaysia Malaysia, Deklarasi Setapak, wirid Lim Kit Siang tidak setuju kelompok bumiputera dan negara Islam diwujudkan.
Katanya Annuar, DAP sebuah parti sosialis liberal dan ia tercatat dengan jelas di dalam perlembagaan parti berkenaan.
Begitu juga, kata Annuar, Kit Siang membantah negara Islam dengan lantang dan ia terdapat di dalam hansard parlimen.
“Kita tolak DAP bukan kerana Cina, di dalam DAP ada orang Cina dan bukan Cina, tetapi perjuangannya bertentangan dengan apa yang kita perjuangkan,” kata bekas Setiausaha Agung UMNO itu ketika bersiaran langsung di Facebook miliknya hari ini.
Konsep kesamarataan itulah, kata Annuar, ada ahli parlimen DAP yang mahu meletakkan gulai babi sebaris dengan laksa dan nasi lemak sebagai makanan tradisi Malaysia.
Kata Annuar, kelihat tidak agresif pada masa ini kerana mereka telah belajar daripada kesilapan ketika menjadi kerajaan 22 bulan, namun parti itu tidak pernah mengubah prinsip perjuangannya.
Menurut Annuar, beliau sendiri telah menulis surat kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa sanggup dipecat demi kebenaran.
Menggagalkan Muafakat Nasional ganti dengan jajaran baharu salah, meninggalkan parti yang sama perjuangannya dan menyokong DAP serta bertanding secara solo satu perbuatan salah.
“Membawa UMNO kepada DAP, sedang mandat orang Melayu bertentangan dengan itu. Oleh kerana itu saya dipecat dari UMNO saya menerima qada dan qadar ke atas diri saya,” katanya.
Beliau juga kesal pada ketika ini UMNO yang terdesak untuk mensucikan DAP, sementara parti cauvinis Cina itu hanya mendiamkan diri tanpa berusaha membersihkan diri atau membantu UMNO.
Dalam pada itu Annuar juga menekankan beliau tidak mempunyai masalah dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebaliknya beliau hanya bermasalah dengan Ahmad Zahid.
Pada siaran langsung itu Annuar juga menjelaskan pemesongan fakta yang dibuat mengenai isu kalimah Allah oleh ahli MT UMNO Datuk Seri Sharkar Shamsudin.
BACA: Isu kalimah Allah: Pemesongan fakta Sharkar merbahaya
Menurut Annuar, beliau tidak mahu menegur langsung Sharkar semasa wacana Sinar Harian semalam, kerana faham pemimpin UMNO itu belum berada di dalam kabinet dan jawatan parti yang terlibat membuat dasar ketika isu berkenaan berbangkit.
Mengulas situasi semasa pentadbiran negara selepas enam bulan kerajaan perpaduan, Annuar berkata, apa yang berlaku adalah para pemimpin Pakatan Harapan tidak mampu menunaikan dan melaksanakan perkara yang dihebohkan ketika mereka menjadi pembangkang.
Ia berpunca, kata beliau, kerana mereka telah berjanji melebihi daripada kemampuan sendiri untuk melaksanakannya dan kini ia memakan diri mereka sendiri seperti isu kenaikan kos sara hidup, tarif elektrik dan harga minyak petrol serta diesel.