Angkasa lancar missi Coopcare Korban Ihsan Palestin
Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) melancarkan Misi CoopCare Korban Ihsan Palestin Peringkat Gerakan Koperasi Malaysia sempena sambutan Aidiladha tahun ini.
Presiden ANGKASA merangkap Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, kerjasama antara ANGKASA dan Yayasan Budi Ihsan Malaysia (YBIM) ini adalah manifestasi komitmen rakyat Malaysia khususnya gerakan koperasi dalam membantu mereka yang memerlukan, khususnya
rakyat Palestin yang sedang berjuang mempertahankan tanah air.
Katanya, dengan kekuatan anggota koperasi seramai 7.2 juta orang di seluruh negara, sudah sudah pasti gerakan koperasi mempunyai kuasa kolektif yang besar untuk memberi impak positif bukan sahaja kepada rakyat di negara ini malah di seluruh dunia.
“Dengan hanya serendah RM350, anggota koperasi dan masyarakat umum berpeluang untuk melaksanakan ibadah korban buat rakyat Palestin yang telah lama menderita berikutan genosid dan pembersihan etnik oleh kekejaman rejim zionis yang tiada noktahnya.”
“Peranan ANGKASA dalam program ini bukan sahaja terhad kepada sumbangan kewangan, tetapi juga melibatkan komitmen dan usaha bersama dalam mempromosikan program ini kepada seluruh anggota koperasi dengan menggunakan platform pemasaran yang kita miliki, termasuk promosi menerusi koperasi kariah masjid.
“ANGKASA juga berharap, Misi Korban Ihsan Palestin untuk menyumbangkan sejuta pek daging korban berbentuk makanan retort sedia makan kepada rakyat Palestin sempena Hari Raya Aidiladha 1445H ini dapat dilaksanakan,” katanya ketika melancarkan Misi CoopCare Korban Ihsan Palestin Peringkat Gerakan Koperasi
Malaysia di Petaling Jaya hari ini.
Dr. Abdul Fattah berkata, kempen berkenaan mengetengahkan dua jenis penajaan yang boleh dipilih orang ramai mengikut kemampuan masing-masing.
Bagi korban luar negara, harga serendah RM350 ditawarkan bagi satu bahagian lembu, RM600 bagi seekor kambing dan RM620 untuk sebahagian unta.
Manakala bagi korban dalam negara, RM790 untuk sebahagian lembu khas untuk anggota koperasi naungan
ANGKASA.
“Orang ramai yang berminat untuk menyertai kempen ini boleh terus ke daftar.ihsanpalestin.com/angkasa. Kempen ini akan dibuka sehingga Aidiladha,” kata Dr. Abdul Fattah.
Pada majlis yang sama, ANGKASA turut memberi sumbangan Korban Ihsan Palestin berjumlah RM10,000 (Ringgit Malaysia Sepuluh Ribu) untuk membiaya bahagian korban untuk kakitangan ANGKASA yang berstatus asnaf dan B40 menerusi program ini. – SM