Angkasa komited bangunkan koperasi sebagai platform kesejahteraan
Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) komited untuk menggerakkan koperasi sebagai wadah pembangunan dan kesejahteraan sosioekonomi rakyat di negara ini dengan mewujudkan kepelbagaian peluang perniagaan yang boleh diceburi sektor tersebut.
Presiden Angkasa merangkap Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO) yang juga Naib Presiden International Cooperative Alliance Asia and Pacific (ICA-AP), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah berkata, perkara tersebut adalah selari dengan tema sambutan Hari Koperasi Antarabangsa iaitu ‘Koperasi Membina Masa Depan Yang Lebih Baik Untuk Semua (Cooperatives Build A Better Future For All).’
Jelasnya koperasi merupakan antara institusi yang kekal berdiri teguh walaupun terkesan dengan pandemik yang berlaku beberapa tahun dahulu dan masih mencatatkan perolehan memberangsangkan pada ketika ini.
“Sehingga 2023, gerakan koperasi telah menyumbang sejumlah RM64.6 Bilion melepasi sasaran kerajaan iaitu RM60 Bilion menjelang 2025. Ini menunjukkan gerakan koperasi yang digerakkan secara berkumpulan mampu memberi impak ekonomi yang besar dan stabil walaupun menghadapi cabaran yang sukar.
“Tambahan pula, kejayaan ini mencerminkan daya tahan dan adaptasi koperasi dalam menghadapi perubahan ekonomi global. Dengan komitmen dan kerjasama anggota koperasi, mereka bukan sahaja dapat mengharungi cabaran tetapi juga memanfaatkan peluang untuk terus berkembang maju.
“Oleh itu, sokongan berterusan daripada kerajaan dan pelbagai pihak amat diperlukan untuk memastikan koperasi terus berdaya saing dan menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara secara mampan,” katanya.
Pencapaian
Menurut Abdul Fatah, pencapaian itu juga didorong dengan inisiatif Angkasa melalui pelan dan dasar strategiknya dalam mewujudkan peluang untuk koperasi berkembang serta terlibat
dalam sektor utama berimpak tinggi untuk membantu merakyatkan ekonomi Madani.
Sokongan kerajaan menerusi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) memainkan peranan penting kepada pembangunan ekosistem dan pasaran yang lebih mesra koperasi.
Pengiktirafan kerajaan kepada gerakan ini dengan mengiktiraf bulan Julai sebagai Bulan Koperasi Kebangsaan bertemakan Malaysia Madani Teras Kecemerlangan Koperasi” merupakan sebuah penghargaan kepada sumbangan gerakan koperasi dalam agenda pembangunan negara.
ICA
“Kedudukan Angkasa mewakili Malaysia selaku badan puncak gerakan koperasi negara sebagai ahli International Cooperative Alliance (ICA) sejak April 1972 telah memeterai pelbagai kerjasama strategik, perkongsian kepakaran dan pertukaran teknologi yang memberi keterlihatan gerakan koperasi negara di peringkat global.
“Angkasa sentiasa menjayakan perdagangan antara koperasi dan koperasi (C-2-C) dan mempromosikan produk serta perkhidmatan koperasi di peringkat antarabangsa dengan menumpukan kepada empat (4) segmen utama iaitu produk Halal, Kewangan Islam, Model Koperasi Sekolah dan Model Koperasi Kariah Masjid.
“Angkasa akan meneruskan komitmennya dalam memacu pertumbuhan koperasi menerusi kerjasama dari semua pemegang taruh termasuk kerajaan dan agensinya, sektor swasta dan masyarakat supaya gerakan ini terus berdaya maju dan memberikan impak positif demi manfaat rakyat dalam jangka masa panjang.
“Melalui usaha berterusan ini, ANGKASA yakin koperasi akan terus menjadi tulang belakang sosioekonomi yang mampan dan inklusif. International Day of Cooperatives (Coopsday) atau Hari Koperasi Antarabangsa diraikan pada hari Sabtu pertama bulan Julai pada setiap tahun,” katanya.
Amalan ini kemudiannya diiktiraf secara rasmi pada tahun 1995 oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai hari yang dikhususkan bagi mempromosi gerakan koperasi serta meningkatkan kesedaran berkoperasi kepada masyarakat umum.
Terdapat lebih tiga juta buah koperasi dengan keanggotaan seramai lebih dari satu (1) bilion individu yang menyumbang kepada 280 juta peluang pekerjaan di seluruh dunia. – SM