Anggota Wataniah perlu lakukan anjakan paradigma
Satu lonjakan paradigma perlulah diambil di segenap peringkat dalam mencapai visi dan misi Rejimen 504 Askar Wataniah bagi memperkuatkan angkatan sukarela di Negeri Perlis dan seterusnya memastikan rejimen ini terus relevan mengikut peredaran masa dan selaras dengan kehendak serta garis panduan yang ditetapkan oleh Tentera Darat Malaysia.
Demikian titah Raja Muda Perlis Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat merasmikan ‘Penutupan Kursus Asas Disiplin Anggota Rendah (KADAR) Bakal Pegawai Tidak Tauliah Rendah (Sukarela) Siri 1/2022 Rejimen 504 Askar Wataniah Tahun 2022’ di Padang Kawad Kem Bukit Keteri pada petang semalam.
Keberangkatan tiba baginda yang juga merangkap Tuanku Komander rejimen yang memegang slogan ‘Latih Untuk Perang’ berkenaan ke program yang disekalikan dengan ‘Perbarisan Komander’ pada kali ini disambut oleh Timbalan Komandernya, Leftenan Kolonel Mohamad Zaidi Ishak.
Titah baginda, ‘Semua anggota sukarela yang menyertai latihan dan kursus anjuran rejimen ini perlulah mencapai mentaliti kelas pertama dengan memahami objektif pelaksanaan agar ia tercapai dan memberi impak positif terutamanya kepada diri sendiri. Abaikan stigma ‘saya hanyalah anggota sukarela’. Ianya akan melemahkan minda dan seterusnya menghilangkan sikap yakin diri dan kekitaan’.
‘Kita semua tidak kira angkatan tetap mahupun simpanan adalah tulang belakang pertahanan negara. Justeru, berusahalah dan sentiasa menyedari siapa diri kita kerana ia pasti akan membantu kita mencapai kejayaan dalam diri’ tegas Tuanku Syed Faizuddin Putra.
Tuanku Raja Muda turut mengucapkan tahniah kepada semua para peserta yang baru sahaja selesai menjalani satu kursus yang melayakkan mereka sebagai bakal Pegawai Tanpa Tauliah Rendah atau PTTR dengan lantikan pangkat Lans Koperal dan menyarankan supaya dijadikan ilmu dan pengalaman yang diperolehi dalam kursus ini sebagai pemangkin bagi peningkatan dalam Askar Wataniah untuk terus kekal aktif di masa hadapan.
Antara para penuntut terbaik dalam kursus tersebut adalah Nur Khairuddin Zulkifli (penembak), Mohd Nazafi Salim (kawad), Mohd Shawal Mohd Raadzi (ketabahan), Nurhanis Zambri (akademik) dan Nurul Afrina Abd Syadad (Penuntut keseluruhan terbaik).