Anggota PALAPES perlu utama profesionalisme tahap tinggi – Raja Muda Perlis
Rawalpindi, Pakistan
Anggota Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Angkatan Tentera Malaysia diingatkan supaya sentiasa mengutamakan pelaksanaan tugas dengan jujur dan ikhlas iaitu dengan mempamerkan tahap profesionalisme yang tinggi serta memenuhi aspirasi rakyat yang sentiasa mengharapkan keamanan ini berterusan.
Rakyat sentiasa memandang tinggi akan khidmat bakti yang telah dan akan dicurahkan walaupun ia sekecil-kecil khidmat baktinya.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat mengadakan lawatan ke ‘Army Museum of Pakistan’ yang terletak di Kentonmen Rawalpindi, Pakistan baru-baru ini.
Keberangkatan tiba baginda yang mengetuai delegasi ‘Lawatan Kerja Akademik dan Strategi Ketenteraan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) 9 buah Universiti Awam (UA) Malaysia’ selama tiga hari itu disambut oleh Pengarahnya Brigedier Jeneral Adnan Saleem.
Tuanku Raja Muda Perlis yang juga merangkap Tuanku Komander Rejimen 504 Askar Wataniah Pasukan Simpanan Tentera Darat diiringi sama oleh Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan, Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Prof Kol (K) Ir Ts R Badlishah Ahmad dan Mejar Muhammad Fadzil Repin dari Universiti Putra Malaysia (UPM).
Turut hadir, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan, TYT Ikram Mohamad Ibrahim, Penasihat Pertahanan di Pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Pakistan, Kolonel Abu Hashim Jamaludin dan pembantu beliau, PW II Mohd Nur Khairi Ramli.
Tuanku Syed Faizuddin Putra juga mengingatkan semua anggota PALAPES supaya sentiasa berpegang teguhlah kepada disiplin tentera dan dan menjunjung tinggi sikap keperwiraan dan kehormatan tentera. Perkara-perkara yang melibatkan salah laku dan dorongan kepada tindakan luar batasan boleh mencemari imej negara serta nama baik angkatan tentera haruslah dihindari.
Muzium menarik tersebut adalah salah sebuah muzium terbesar di Pakistan. Ia diwujudkan sejak tahun 1961 lagi dan mempamerkan pelbagai peralatan tentera, kereta kebal dan perisai serta helikopter.