AgamaNasional

Andalusia Travel dan KUISCELL jalin kerjasama Kursus Intensif Bahasa Arab di Madinah 4.0

ANDALUSIA Travel and Tours Sdn Bhd (Andalusia Travel) dengan kerjasama anak syarikat Universiti Islam Selangor (UIS), KUISCELL melancarkan program Kursus Intensif Bahasa Arab di Madinah (Kibar Madinah 4.0).
Program yang memasuki siri keempat tersebut menyaksikan peserta bakal diterbangkan ke Madinah untuk mengikuti kursus intensif bahasa Arab selama 25 hari di Universiti Islam Madinah sebelum mengerjakan ibadah umrah selama lima hari di Makkah

Perasmian kali ini merupakan lanjutan Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai pada 4 Ogos lepas, dengan Andalusia Travel diberikan mandat untuk mengendalikan program anjuran KUISCELL bagi musim umrah 1445H (2023/2024) dan musim umrah 1446H (2024/2025).

Pengarah dan Penasihat Undang-Undang Andalusia, Hajah Ida Riswana Idris berkata, program asas komunikasi bahasa Arab membuka peluang, terutama kepada golongan muda yang ingin mengembangkankan karier mereka di timur tengah, selain mendedahkan komunikasi secara terus dengan warga tempatan.

“Kami percaya program seperti ini harus direbut oleh orang muda yang ingin menguasai bahasa Arab jika mereka berhasrat merebut peluang memulakan karier mereka di Arab Saudi atau negara lain di timur tengah, yang kita semua mengetahui negara Arab sedang memacu ekonominya dan pembangunan yang sangat pesat menjelang 2030.”

“Selain daripada peserta mempelajari Bahasa Arab “Fushah” atau rasmi, dalam tempoh tersebut peserta akan dibawa ke tempat-tempat ziarah di Makkah dan Madinah di samping aktiviti harian yang lebih mendedahkan mereka kepada penggunaan Bahasa Arab “Ammiyah” atau bahasa pasar.” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis pelancaran pakej Kibar Madinah 4.0 di Auditorium Andalusia yang dirasmikan oleh Muhammad Hafiz atau PU Hafiz selaku wakil KUISCELL yang juga alumni Universiti Islam Madinah di sini, hari ini.

Turut hadir ialah pemangku Ketua Pegawai Eksekutif KUISCELL, Ahmad Fuad Mat Ali; Pengarah Urusan Andalusia Travel, Ibrahim Mat Sin; Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel, Dato’ Md Daud Che Ngah; Pegawai Kanan Senior Hubungan Perniagaan Strategik Bank Islam Malaysia Berhad, Muhammad Said bin Mohd Radzi; dan wakil Jabatan Pelancongan Arab Saudi, Nabila Rosdee.

Dari segi had umur, Ida Riswana memberitahu syarat yang dikenakan oleh Universiti Islam Madinah bagi program ini adalah seawal 16 tahun dan beliau mengalu-alukan penyertaan golongan muda.

Katanya, sepanjang tempoh dua tahun bekerjasama dengan KUICELL, Andalusia telah memilih empat tarikh yang dibuka untuk pendaftaran iaitu bermula pada 3 November tahun ini, 6 Julai tahun hadapan, 1 Disember 2024 serta 1 Febuari 2025 dengan pakej yang disediakan bermula daripada RM20,699.

Artikel berkaitan > Andalusia Travel tawar pakej Umrah Rahmah serendah RM5,590

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More
Back to top button