EkonomiRencah HidupUncategorized

Anda pernah mengemis di plaza tol?

YA saya pernah mengemis di Plaza Tol Duta. Kisahnya bermula apabila saya terkejar-kejar untuk ke pejabat dari Rawang. Ketika memasuki Lebuh Raya Utara Selatan menuju ke Kuala Lumpur, dek kerana kelam-kabut saya menyangkakan baki tol saya adalah RM30.

Jadi cukuplah membayar tol yang hanya RM2.90 dari Lebuh Raya Guthrie ke Tol Jalan Duta. Tapi apa yang berlaku bakil tol saya ialah hanya 30 sen. Sampai sahaja di lorong smart tag tentulah saya tersangkut kerana baki tidak mencukupi. Dan baru saya sedar yang Plus telah menutup laluan untuk bayaran tambahan kepada kad Touch n Go. Saya ke satu pondok tol demi satu pondok tol petugas hanya menunjukkan arah tapi tidak pasti pondok tol mana yang dapat membantu. Pengawal keselamatan lagilah tidak berfungsi dengan bertopeng mungkin kerana tidak tahan menghidu asap kenderaan.

Pengguna lain pula apa lagi mula membunyikan hon. Nasib baik dalam keadaan panik itu saya masih terfikir untuk mengunci kenderaan sambil mencari pondok tol yang boleh dibuat bayaran tambahan nilai.

Akhirnya saya menemui pondok tol yang di bahagian paling tengah. Memang tidak ditulis, tetapi kita perlu mengemis untuk membayar duit. Ini buat pertama kali dalam hidup saya perlu mengemis untuk membayar orang.

Serik dengan pengalaman itu saya pun memuat turun Pay Direct yang diperkenalkan oleh syarikat yang sama. Saya fikir semua bayaran tol akan ditolak dari e-wallet, jadi saya tetapkan jumlah yang banyak supaya peristiwa mengemis ini tidak berulang lagi.

Saya dengan yakin ke Pahang tanpa menambah nilai kerana yakin akan ditolak dari dompet elektronik saya. Sekali lagi saya terkena kerana perkhidmatan itu hanya berlaku di Lembah Klang dan semua lebuh raya Plus tidak menggunakan perkhidmatan itu.

Kali ini saya nyaris meminta sedekah sekali lagi, tetapi saya bernasib baik kerana baki nyawa-nyawa ikan cukup untuk membayar tol hingga saya pulang ke Kuala Lumpur.

Saya tidak faham mengapa syarikat konsesi lebuh raya itu memansuhkan lorong tambah nilai. Apakah kerana alasan kesesakan? Saya lihat walaupun tanpa lorong berkenaan, setiap hari pengguna lebuh raya terpaksa membayar dengan bayaran yang mahal di lebuh raya dan masih lagi sesak. Sesaknya bukan satu atau dua kilometer bak bahasa sekarang bukan kaleng kaleng.

Saya juga tidak faham mengapa dompet elektronik itu tidak diperluaskan ke seluruh negara. Perkara itu tidak pernah diperjelaskan oleh syarikat terbabit kepada pengguna. Mereka lebih gemar memaksa daripada berkomunikasi dengan pelanggan. Itulah sikap perkhidmatan di negara ini seolah-olah mereka adalah raja monopoli dan pengguna tidak mempunya pilihan. Memang betul mereka memang monopolis dan rakyat tidak punyai pilihan.

Tukarlah 10 lagi kerajaan pun rakyat tetap menjadi mangsa neo kapitalis ini.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button