Anak tampar, belasah ibu kerana tidak dapat motosikal baharu
Suspek dipercayai penagih dadah
SEORANG anak tergamak menampar dan memukul ibunya hanya kerana permintaannya untuk dibelikan sebuah motosikal baharu tidak dipenuhi.
Dalam kejadian pukul 5 petang Sabtu lalu, suspek dipercayai mengamuk selepas permintaannya gagal dipenuhi ibunya yang berusia 56 tahun.
Akibat berang, suspek yang berusia 28 tahun menampar ibunya yang bekerja sebagai pereka dalaman berkali-kali serta mengugut, memukul dan menyeret mangsa di lantai.
Menurut Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew, mangsa kemudian membuat laporan sebelum suspek ditahan malam tadi.
Siasatan awal mendapati suspek yang tidak bekerja datang berjumpa ibunya dan meminta sejumlah wang untuk membeli motosikal baharu.
Mangsa bagaimanapun memaklumkan tidak memiliki wang menyebabkan suspek menuduh mangsa berbohong dan bertindak menampar muka dan memukulnya pada kepala, kaki dan tangan.
Suspek turut mengugut mangsa selepas memukulnya berulang kali.
Wari berkata, mangsa kemudian mendapat rawatan di hospital.
Mangsa tidak mengalami kecederaan serius namun masih trauma dan ketakutan akibat kejadian dipukul suspek yang juga penagih dadah.
Suspek direman empat hari bermula hari ini, mengikut Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan kerana memukul, menumbuk dan mengugut mangsa. – ASTRO AWANI – SM