Anak kena Covid-19, Fizo Omar tegur masyarakat jangan pentingkan diri
TERKESAN dengan anak yang dijangkiti Covid-19, pelakon, Fizo Omar memberi teguran tegas kepada masyarakat supaya sentiasa mematuhi pematuhan operasi standard (SOP).
Menurut Fizo, kes semakin meningkat tetapi ramai yang masih tidak patuh pada SOP terutamanya keluar sesuka hati seperti tiada apa yang sedang berlaku.
“Tak perlulah sampai kena pada diri sendiri atau keluarga barulah semua nak berjaga-jaga dan ambil berat berkenaan Covid-19.
“Jangan pentingkan diri sendiri. Frontliner kerja siang malam dah hampir setahun. Ambil risiko yang sangat tinggi sampai hospital penuh dan ambulan pun tak cukup.
“Tapi masih ada lagi yang jenis tidak peduli. Sebab apa? sebab tidak kena pada batang hidung sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, Fizo turut memberitahu yang anaknya kini berada dalam keadaan baik dan sedang dirawat selepas dijangkiti Covid-19.
Menurutnya, agak sukar untuk dia menggambarkan perasaan seorang bapa yang menanti detik anaknya berada di hospital dan sedang bertarung dengan Covid-19.
“Ayah sanggup buat apa sahaja demi anak tapi disebabkan Covid-19, apa pun tak boleh dibuat. Nak pergi tengok, nak bagi semangat, semua tak boleh.
“Apa yang boleh cumalah berdoa agak anak saya sembuh dan hanya mampu membuat panggilan video sahaja untuk melepaskan rindu dan kerisauan,” jelasnya.
Fizo sebelum ini mengesahkan yang anak dan bekas isterinya dijangkiti Covid-19 dan kini sedang menerima rawatan. -SM