Nasional

Kesesakan di PKRC MAEPS tidak benar, masih banyak katil kosong

SEJAK semalam, tular gambar di laman sosil yang memaparkan keadaan sesak di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).

Ramai yang terkejut dan menyatakan kerisauan mereka terhadap kemampuan untuk menangani kes Covid-19 sekiranya jumlah jangkitan terus meningkat.

Namun,  Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menjelaskan bahawa video tular itu sebenarnya tidak menggambarkan situasi sebenar.

Ini kerana menurut Nadma, kandungan video itu tidak menunjukkan keseluruhan dewan penempatan pesakit Covid-19 selain tidak disertakan penerangan.

Ketua Unit Komunikasi Korporat Nadma Nur Daliza Dohat berkata pada masa ini PKRC itu mempunyai 8,000 katil, namun berkapasiti sebenar 10,000 katil.

“Setakat 12 tengah malam, 8 Januari, jumlah pesakit semasa ialah 2,863 orang. Ini bermakna daripada 8,000 katil sedia ada jumlah katil yang masih kosong ialah 5,137 buah.

“Gambaran dalam video yang sedang tular bahawa PKRC sesak adalah mengelirukan. Keadaan dalam video itu hanyalah situasi biasa ketika proses discaj harian,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Sementara itu, Nur Daliza menjelaskan sekalipun tiada dinding sekat, penjarakan fizikal antara pesakit dilakukan mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan pihak berkuasa.

Ketiadaan dinding sekat bertujuan membolehkan petugas-petugas di PKRC memantau keadaan kesemua pesakit secara efektif, jelasnya.

“Ketika ini terdapat 1,170 petugas daripada pelbagai agensi bertugas memastikan pesakit yang ditempatkan di PKRC berada dalam keadaan baik dan selesa,” katanya.

Pada 9 Disember lalu, kerajaan memutuskan mengaktifkan semula MAEPS sebagai PKRC.

Kali pertama MAEPS diaktifkan sebagai PKRC ialah pada 16 April tahun lalu sebelum ditutup pada 15 Julai.

Pembukaan PKRC adalah usaha kerajaan menempatkan pesakit Covid-19 yang tidak bergejala bagi memastikan kecukupan katil di hospital untuk pesakit bergejala.

Dalam pada itu, Nur Daliza berkata jumlah kumulatif pesakit Covid-19 yang ditempatkan di PKRC sejak dibuka iakah 19,121 orang iaitu 18,362 lelaki dan 759 wanita.

Slogan ‘Kita jaga kita’ sebagai peringatan kepada masyarakat untuk sentiasa berwaspada haruslah menjadi pegangan kerana tidak mustahil keadaan sesak di PKRC boleh berlaku jika masyarakat terus leka dalam usaha membendung wabak itu, katanya. -SM

(Visited 683 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button