Nasional

Anak Dungun tempa kejayaan sehingga ke PBB

PENCAPAIAN membanggakan seorang anak jati Terengganu yang memainkan peranan penting dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), wajar dijadikan contoh oleh semua golongan muda hari ini.

Dr Salmaan Hussain Inayat Hussain, 52, anak kelahiran Dungun, merupakan satu-satuya pakar dari Malaysia dalam bidang kesan enapan racun makhluk perosak ke atas makanan, yang bertugas untuk PBB sejak tahun 2012.

Sebagai seorang daripada panel pakar Pertubuhan Pemakanan dan Pertanian Dunia (FAO), beliau bertanggungjawab menggariskan tahap selamat kesan enapan racun perosak dalam makanan, di seluruh dunia.

“Tugas saya adalah meneliti data toksikologi racun makhluk perosak yang dihasilkan oleh industri. Contohnya, sesebuah syarikat yang menghasilkan racun serangga, syarikat itu perlu menghantar data kepada WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia), dan kami akan kenal pasti berapakah tahap selamat pengambilan racun serangga itu, terhadap makanan,” katanya kepada Bernama.

Beliau yang juga Ketua Jabatan Pengawasan Produk dan Toksikologi di syarikat Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) itu, turut melakar kejayaan cemerlang di peringkat antarabangsa apabila dilantik sebagai Profesor Adjung di Jabatan Sains Kesihatan Alam Sekitar di ‘School of Public Health’ di Yale University, Amerika Syarikat, dari tahun 2019 hingga 2023.

Mengimbau kembali kehidupan pada masa kecilnya, Salmaan Hussain seakan tidak percaya beroleh kejayaan seperti hari ini, kerana prestasi pembelajarannya semasa sekolah pada mulanya tidaklah begitu memberangsangkan.

Katanya, selepas pemergian secara mengejut bapanya Inayat Hussain Amir Mohammad, ketika beliau berusia tujuh tahun, ibunya Rais Fatima Abdul Razak, 79, yang hanya seorang suri rumah, bersendirian membesarkan dirinya bersama empat adik-beradik yang lain.

“Selepas ayah meninggal dunia, saya hilang semangat untuk ke sekolah. Pada waktu itu saya malas dan sering ponteng sekolah. Yang saya tahu hanyalah berbasikal dengan kawan. Saya pernah berbasikal dari Dungun ke Kuala Terengganu, dan boleh dikatakan pada waktu itu, agak nakal lah,” katanya.

Namun, segalanya berubah ketika beliau menginjak ke usia remaja, selepas abang sulungnya Dr Anis Ahmad yang ketika itu mengikuti pengajian di peringkat doktor falsafah (PhD), menyuntik semangat dan membimbingnya dalam pelajaran terutama subjek Sains dan Matematik.

Lantaran itu Salman Hussain mula menunjukkan prestasi cemerlang dalam Sijil Rendah Pelajaran (SRP) dan seterusnya menjadi pelajar terbaik di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di Dungun.

Sebaik berjaya menamatkan pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia dalam bidang Sains Farmakologi, beliau tidak menoleh ke belakang lagi sehinggalah memperoleh PhD dalam bidang toksikologi.

“Saya berpegang kepada prinsip, untuk berjaya, seseorang itu perlu mempunyai keazaman yang tinggi di samping sentiasa berfikir positif.

“Sekiranya kita fikir kita sedang gagal, kita kena ingat kegagalan itu bukan untuk selamanya. Ia adalah cabaran untuk diatasi demi mencapai kejayaan,” katanya.

Ditanya mengenai perkembangan bidang toksikologi di Malaysia, Salmaan Hussain berkata, ia masih belum berkembang luas di negara ini, yang mana kebanyakan syarikat di Malaysia masih belum mempunyai ahli toksikologi, yang berkhidmat secara tetap.

“Di PETRONAS pasukan saya (Jabatan Pengawasan Produk &Toksikologi) mempunyai 12 kakitangan termasuk empat ahli toksikologi. Segelintir syarikat seperti syarikat makanan atau kosmetik, mungkin mempunyai seorang atau dua orang ahli toksikologi. Tetapi di luar negara kebanyakan syarikat yang berkaitan bahan kimia, mempunyai ramai ahli toksikologi,” katanya. – BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button