
Amy Search Kekal Tenang Diminta Tukar Tarikh Konsert Gara-Gara Final Piala Malaysia
DEMI perlawanan akhir Piala Malaysia antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Sri Pahang FC pada 26 April depan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, seorang peminat meminta penyanyi legenda, Datuk Amy Search, menukar tarikh konsert solo pertamanya kerana berlangsung pada hari yang sama.
Konsert Amy Search Magic First Solo Concert yang dijadualkan di Axiata Arena, Bukit Jalil, terletak bersebelahan dengan stadium, sekali gus menimbulkan kebimbangan peminat mengenai kemungkinan pertembungan acara besar itu.
Namun, Amy kekal tenang dan tidak terkesan dengan permintaan tersebut.
Penyanyi berusia 67 tahun itu, yang berasal dari Johor Bahru, malah berseloroh meminta peminatnya untuk tidak menonton perlawanan kerana keputusan sudah boleh dijangka.
“Tak perlu tengok sebab dah tentu JDT menang. Mana pernah JDT kalah,” katanya sambil bergurau.
- Jadikan Masjid MADANI pusat komuniti setempat – PM Anwar27 March 2025
Reaksi Amy mengundang tawa, dan peminat yang membuat permintaan itu akhirnya bersetuju untuk menghadiri konsert solo beliau walaupun terpaksa melepaskan peluang menyaksikan aksi final Piala Malaysia secara langsung.
“Terbaik Datuk. Betul juga. Baiklah saya ‘on’ konsert Amy,” tulis peminat tersebut.
Terdahulu, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan perubahan tarikh bagi aksi final Piala Malaysia, menetapkan perlawanan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, pada 26 April.
Selepas 44 tahun dalam industri muzik, Amy bakal menjayakan konsert solo pertamanya, Amy Search Magic First Solo Concert, yang dijangka menjadi detik bersejarah dalam karier seninya.
Tiket konsert sudah mula dijual sejak 5 Februari lalu di www.wowtix.com.my.