Politik

Amirudin Shari menghadap Sultan Selangor

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Bukit Kayangan di Shah Alam, hari ini.

Amirudin menaiki kereta rasmi Menteri Besar jenis Toyota Camry dengan diiringi pasukan pengiring Polis Diraja Malaysia tiba di istana berkenaan kira-kira jam 2.30 petang tadi.

Bagaimanapun tujuan pertemuan itu masih lagi menjadi tanda tanya namun dipercayai bagi menyembah maklum nama calon Menteri Besar Selangor.

Sebelum ini pelbagai spekulasi mengenai pelantikan Menteri Besar menjadi tajuk utama media termasuk Menteri Besar Selangor ke-17 yang baharu dijangka mengangkat sumpah pada Jumaat ini.

Media sebelum ini turut melaporkan Kerajaan Perpaduan akan mengekalkan Amirudin sebagai Menteri Besar Selangor sekiranya gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menang di negeri itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 18 Julai lalu ketika berucap merasmikan Program Sentuhan Agro Madani Peringkat Negeri Selangor di Kuala Selangor.

Anwar dilaporkan berkata, keputusan itu bagi memastikan Amirudin dapat meneruskan kecemerlangan dalam mentadbir kerajaan Selangor.

Bagaimanapun, terdapat khabar angin bahawa Amirudin akan diangkat sebagai menteri di peringkat Persekutuan dan tempatnya diganti calon muka baharu juga dari PKR. – SUMBER SINAR HARIAN – SM

(Visited 195 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button