SEJAK Isnin minggu ini, hujan lebat di Lembah Klang termasuk Kajang dan pagi ini, hujan masih berterusan walaupun renyai-renyai.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan, amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di beberapa negeri hingga 1 tengahari, hari ini.
MetMalaysia menerusi kenyataan yang dimuat naik di Twitter memaklumkan, antara negeri terlibat adalah Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan dan Melaka.
Di Negeri Sembilan, hujan meliputi kawasan Seremban, Port Dickson dan Rembau.
Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran. – SM