NasionalNegeri

AMANITA dekati golongan wanita jadi rakan polis cegah jenayah

RAMAI yang akan mengerling apabila terserempak dengan wanita muda berpakaian korporat warna ungu yang menunggang skuter putih.

Pastinya dalam hati masing-masing tertanya-tanya mengenai status pekerjaan wanita ini yang dilihat menarik perhatian.

“Mungkin ramai di kalangan masyarakat khususnya penduduk Kangar yang masih tidak sedar dengan kehadiran AMANITA iaitu pasukan khas melibatkan pegawai dan anggota polis wanita,” kata Ketua Polis Kangar, Asisten Komisioner, Yusharifuddin Mohd Yusop.

Pasukan AMANITA bertemu dengan kaum wanita yang dapat membantu mengurangkan jenayah secara bersama.

Beliau berkata, pasukan AMANITA ini akan “turun padang” untuk bertemu dengan kaum wanita khususnya suri rumah yang menjadi rakan polis.

Yusharifuddin berkata, pasukan AMANITA Kangar diketuai oleh Inspektor Siti Rabiaatuladawiah Ibrahim dari Bahagian Siasatan Jenayah.

“Pasukan ini akan melakukan rondaan seminggu sekali ke kawasan perumahan dan kedai-kedai berhampiran untuk menyampaikan maklumat supaya bersama-sama memerangi jenayah,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, interaksi secara mesra dengan golongan wanita ini akan memudahkan polis mendapat maklumat berkaitan jenayah, penyalahgunaan dadah, kesalahan trafik dan sebagainya lagi.

“Semasa pertemuan ini dapat disampaikan maklumat mengenai jenayah semasa,” katanya.

Katanya lagi, AMANITA juga turut mengedarkan risalah pencegahan jenayah dan penerangan mengenai e-reporting PDRM bagi memudahkan laporan polis dibuat dengan Internet.

Selain itu, kaum wanita juga diberikan penerangan lanjut mengenai cara untuk melapor kepada polis jika ada maklumat jenayah, katanya.

“Pasukan AMANITA ini akan menasihat dan menyakinkan suri rumah untuk tidak takut melaporkan jenayah,” ujarnya.

Beliau berkata, sekaligus ini akan membantu pihak polis untuk mendapatkan maklumat jenayah yang selama ini disembunyikan atas dasar menjaga keharmonian dengan jiran dan sebagainya.

Yusharifuddin berkata, setakat ini tiga taman perumahan telah menjadi “taman angkat” AMANITA iaitu Taman Seberang Ramai, Kuala Perlis serta Taman Sena dan Taman Hijrah masing-masing di Kangar. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button