Ekonomi

AmanahRaya REIT mengalu-alukan Kolej Universiti ALFA sebagai Penyewa Jangka Panjang

Kuala Lumpur 18 Julai  – AmanahRaya Real Estate Investment Trust (“AmanahRaya REIT”) hari ini mengumumkan bahawa Pemegang Amanahnya, Pacific Trustees Berhad, telah menandatangani perjanjian penyewaan jangka panjang dengan ALFA International College Sdn Bhd (“ALFA”) untuk hartanahnya di Subang Jaya, Selangor.

 

Perjanjian dengan ALFA bertepatan dengan tamatnya perjanjian penyewaan dengan Kolej Segi pada 28 Februari 2024, sekaligus menandakan satu lagi pencapaian penting bagi AmanarahRaya REIT dalam usahasama dengan institusi terkenal dengan program seni cemerlang yang berada di antara institusi pendidikan pilihan di Malaysia.

 

Perjanjian penyewaan dengan ALFA merangkumi tempoh sewaan selama 18 tahun pada pengaturan sewaan bersih dan dijangka mula beroperasi pada suku keempat tahun ini.

 

Hartanah ini terletak di kawasan perniagaan komersial Subang Jaya di USJ1, dan mempunyai bangunan 12 tingkat yang dibina khas untuk tujuan pendidikan dan  pegangan bebas.

 

Pengarah Urusan AmanahRaya Kenedix REIT Sdn Bhd yang merupakan Pengurus kepada AmanahRaya REIT, Yang Mulia Tunku Rozita, berkata, pihaknya sangat teruja mengalu-alukan ALFA sebagai penyewa jangka panjang baharu.

“Reputasi mereka sebagai institusi pendidikan yang berkualiti adalah sejajar dengan visi kami. Kami yakin ia akan menyumbang dengan ketara kepada kejayaan hartanah ini serta meningkatkan pendapatan harta bersih AmanahRaya REIT. Hartanah itu dijangka menjana aliran pendapatan yang konsisten dengan pengembalian sewa positif setiap 3 tahun, yang akan memberi manfaat kepada Pemegang Unit,” katanya di sini hari ini.

 

Beliau menambah, pihaknya ingin terus mengekalkan aset tersebut sebagai asas pendidikan dan sumbangan kepada elemen social serta pada masa yang sama melaksanakan strategi pengagihan semula aset untuk meningkatkan Agihan Seunit (DPU) dan harga saham masing-masing.

 

Sehingga kini, AmanahRaya REIT menyelia portfolio merangkumi 11 hartanah di seluruh negara, meliputi sektor pendidikan, pejabat, perindustrian, peruncitan, hospitaliti dan kesihatan.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button