pilihanPolitik

Amanah yakin pertahan Parlimen Pulai, DUN Simpang Jeram – Adly Zahari

Parti Amanah Negara (Amanah) yakin mampu mempertahankan kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram di Johor menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) bulan depan.

Naib Presidennya, Adly Zahari berkata, perkhidmatan terbaik yang diberikan oleh Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub menyakinkan parti itu kerusi itu mampu dimenangi oleh calon dari Amanah yang akan diumumkan nanti.

Menurutnya, DUN Simpang Jeram merupakan tapak penubuhan parti itu yang mempunyai kekuatan akar umbi.

“Allahyarham (Salahuddin) telah memberikan khidmat yang terbaik dan kalau kita tengok ketika Amanah tidak dapat mempertahankan mana-mana kerusi, kita dapat mandat rakyat di Simpang Jeram.

“Ramai orang tak ingat DUN Simpang Jeram adalah tapak wujudnya parti Amanah yang mempunyai kekuatan akar umbi di situ sebab itu saya yakin kemenangan pada 9 September ini dapat diterjemahkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan perasmian Program Membudayakan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Pertahanan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Durian Tunggal, Melaka di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Adly yang juga Timbalan Menteri Pertahanan berkata, kerjasama baik antara Kerajaan Perpaduan dan negeri juga akan memberikan kemenangan yang lebih besar.

Katanya, semangat perpaduan, kestabilan dalam Kerajaan Perpaduan itu menjadi teras utama parti itu khususnya di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.

Bekas Speaker DUN Johor pada 2018, Suhaizan Kaiat diumumkan sebagai calon untuk kerusi Parlimen Pulai manakala Timbalan Ketua Amanah Kawasan Bakri Ir. Nazri Abdul Rahman bagi calon DUN Simpang Jeram pada PRK, 9 September ini.

PRK dua kerusi itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Salahuddin, 61, pada 23 Julai lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari penamaan calon PRK bagi kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada 26 Ogos dan hari pengundian pada 9 September. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button