Alumni berperanan besar bantu capai kecemerlangan sesebuah universiti – Raja Muda Perlis
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, ‘Para mahasiswa yang telah bergraduasi perlu menjadi contoh dan teladan serta berkongsi ilmu bagi mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik mahupun bukan akademik kepada mahasiswa yang masih menuntut di institusi pengajian masing-masing’.
Baginda bertitah, ‘Alumni setiap universiti perlu memainkan peranan dalam menyumbang kepakaran kepada universiti dengan bekerjasama dalam apa jua bentuk sumbangan demi kemaslahatan pelajar yang sedia ada’.
Tuanku Raja Muda yakin, mungkin ada di antara siswazah akan menyambung pengajian, atau mungkin bekerja di pelbagai sektor. Bagi yang bekerja terutamanya di industri mereka boleh menyumbang dalam meningkatkan kebolehpasaran graduan dengan membantu mempromosikan peluang pekerjaan kepada adik-adik mahasiswa”.
Demikian titah perutusan Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Tuanku Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) melalui rakaman video sewaktu sidang ke-enam Istiadat Konvokesyen Ke-19 UniMAP yang berlangsung di Dewan Ilmu, Kampus Alam UniMAP Pauh Putra.
Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Tuanku Pro-Canselor UniMAP berkenan berangkat bagi menyempurnakan istiadat konvokesyen sidang tersebut pada petang tadi.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Ahli Lembaga Pengarah Universiti mewakili Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Haji Muhamed Ali Hajah Mydin, Naib Canselor, Prof. Datuk Ts. Dr. Zaliman Sauli dan pengurusan tertinggi universiti.
Seramai 437 graduan telah terlibat pada sidang keenam ini terdiri daripada Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Elektrik (FKTE) serta Fakulti Perniagaan dan Komunikasi (FPK) iaitu Sarjana Muda Perniagaan (Kepujian) (Keusahawanan Kejuruteraan) (252 Graduan) dan Sarjana Muda Komunikasi Media Baharu (Kepujian) (185 Graduan).