Alam Maritim raih kontrak lima tahun daripada Repsol
ALAM Maritim Resources Bhd meraih kontrak daripada Repsol Oil & Gas Malaysia Ltd selama lima tahun bagi menyediakan perkhidmatan pemeriksaan bawah laut, penyelenggaraan dan baik pulih bagi Blok PM3 di kawasan penyusunan komersial antara Malaysia dan Vietnam.
Penyedia perkhidmatan kapal sokongan luar pesisir itu berkata kontrak itu akan berkuatkuasa pada 30 Jun 2020.
“Mobilisasi kapal pertama akan bermula pada pertengahan Ogos,” menurut syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Mengenai nilai kontrak, Alam Maritim berkata ia akan mengikut permintaan pesanan kerja oleh Repsol.
Ia berkata kontrak itu akan menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset ketara bersih Alam Maritim dan kumpulan syarikatnya bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Dis 2020 dan selepas itu dalam tempoh kontrak berkenaan. – BERNAMA