Al Jazeera perlu mohon maaf kerana berbohong secara terang-terangan.
AGENSI berita asing, Al Jazeera perlu memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana menuduh negara ini mengamalkan dasar perkauman terhadap warga asing.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pemberita Al Jazeera yang membuat liputan tersebut tidak mengamalkan etika kewartawanan dan berbohong secara terang-terangan.
Ismail Sabri yang menonton sendiri dokumentari ‘Locked Up In Malaysia’s Lockdown’ itu berkata, agensi berita itu seolah-olah mempunyai niat yang tidak baik.
“Tuduhan kita mengurung pendatang asing tanpa izin (Pati) juga tidak benar kerana Maahad Tahfiz, perkampungan di Hulu Langat juga dikenakan perintah berkurung.
“Kita boleh tanya Al Jazeera ini, berikan kita mana-mana negara yang berikan kebebasan mutlak kepada warga asing yang tidak ada dokumen.
“Jawapannya tidak ada kerana semua negara ada akta yang hampir sama dan semua warga asing yang masuk kena ada dokumen yang sah.
“Saya cabar mereka tunjukkan mana-mana negara yang berikan kebebasan mutlak kepada mereka yang tidak ada dokumen,” kata Ismail Sabri dalam sidang media PKPP di Putrajaya, hari ini.