Aktiviti latihan sukan air dibenarkan
AKTIVITI latihan melibatkan sukan air dan kolam renang dibenarkan tanpa sentuhan fizikal dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang dibenarkan berkuat kuasa 25 Jun ini
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kebenaran ini diberikan kepada atlet kebangsaan, negeri, perenang kelab, perenang akademi dalam program latihan tertentu, selain peserta atau perenang yang mengikuti latihan berperingkat seperti program belajar berenang.
“Aktiviti perlu mengikut sesi ditetapkan dengan had jumlah tertentu atlet atau peserta berdasarkan kapasiti kolam dan mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) sektor sukan dan rekreasi,” katanya dalam sidang akhbar harian di Putrajaya hari ini.
Menurut Ismail, atlet atau peserta perlu patuh semua SOP termasuk pendaftaran My Sejahtera, penjarakan sosial 3 hingga 5 meter dan pelbagi SOP lain yang akan diperincikan Kementerian Belia dan Sukan.
Jelasnya, latihan juga perlu mengikut waktu dan hanya beberapa individu sahaja yang dibenarkan untuk berada dalam kolam renang.
Menurut Ismail, operator kolam renang perlu membuat pendaftaran notifikasi pembukaan kolam renang dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) di laman web notification.miti.gov.my.
“Kita juga membincangkan pembukaan kolam renang di hotel-hotel dan kawasan persendirian serta perlu menunggu SOP dibangunkan dahulu baru kita akan benarkan,” jelasnya -SM