fbpx
Agama

Warga emas dibenar solat berjemaah mulai esok- Raja Muda Perlis

Perlis memberi kelonggaran jemaah berumur 60 tahun ke atas menunaikan solat Jumaat dan solat lima waktu bermula esok.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah kelonggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) itu dibuat setelah mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail.

“Setelah mengambil kira keadaan dan suasana terkini fasa pemulihan penularan pandemik COVID-19 serta pengekalan 72 hari tanpa penambahan kes positif baharu sejak 7 April di negeri Perlis, maka baginda (Raja Perlis) berkenan memberi kelonggaran,” titah baginda menerusi satu kenyataan malam ini.

Baginda bertitah selain itu, kelonggaran turut diberikan kepada pesakit kencing manis, darah tinggi, lelah, penyakit barah dan sebagainya dengan syarat sihat tubuh badan.

“Memandangkan kelonggaran tersebut, maka SOP jarakan sosial dua meter dikekalkan namun pengurangan jarak bakal dipertimbangkan secara berperingkat,” titah baginda.


Titah baginda, kuliah maghrib dan subuh dibenar untuk dilaksanakan seminggu sekali selama 30 minit oleh guru takmir yang akan diselaraskan pelaksanaannya oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah pemakaian kebenaran ini adalah terhad kepada masjid di seluruh negeri Perlis sahaja dan tidak melibatkan surau.

“Sebagai manusia, kita hendaklah sentiasa bergantung harap kepada Allah SWT dan janganlah mudah alpa serta hendaklah bersiap siaga menghindari ujian ini daripada berulang mendatangi kita. Semoga segala usaha dan ikhtiar kita diperkenankan oleh Allah SWT,” titah baginda.-BERNAMA

(Visited 1 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button