Ekonomi

AirAsia tandatangan MoU sewa 100 pesawat eVTOL

KUALA LUMPUR: AirAsia Aviation Group Ltd (AirAsia), cabang penerbangan Capital A Bhd, sebelum ini dikenali sebagai Kumpulan AirAsia, telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) tidak terikat untuk menyewa sekurang-kurangnya 100 VX4 eVTOL (electric vertical take-off and landing).

Perjanjian itu ditandatangani dengan Avolon, sebuah syarikat penyewa pesawat antarabangsa.

Ketua pegawai eksekutif (CEO) Capital A Tony Fernandes berkata pesawat eVTOL itu akan membolehkan AirAsia merevolusikan lagi perjalanan udara dengan menyediakan mobiliti udara termaju kepada rangkaian penumpang baharu.

“Selain pesawat eVTOL, Avolon, melalui sekutu pelaburan dan inovasinya Avolon-e, akan bekerjasama dengan AirAsia untuk mengkomersialkan pesawat eVTOL pelepasan sifar dan membangunkan platform mobiliti udara bandar (UAM) yang terkemuka dalam industri di Asia Tenggara,” katanya semasa majlis menandatangani MoU maya hari ini.

Beliau berkata Avolon dan AirAsia akan membentuk kumpulan kerja untuk mengejar pensijilan tempatan, menyelidik peluang pasaran yang berpotensi dan keperluan infrastruktur untuk UAM.

Fernandes berkata AirAsia juga akan memanfaatkan aplikasi mudah alih perjalanan dan gaya hidup yang berjaya, AirAsia Super App, untuk membantu menyokong dan membina platform perkongsian perjalanan eVTOL dengan Avolon.

“Dalam VX4, kami telah mengenal pasti apa yang kami percaya akan menjadi pilihan pesawat eVTOL.

“Kami sangat teruja untuk menjadi syarikat penerbangan pelancaran untuk pesawat itu di Asia Tenggara,” katanya, sambil menambah bahawa pelancaran itu dijangka menjelang 2025.

 

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button