Ekonomi

AirAsia.com dan Agoda umum kerjasama strategik pacu permintaan perjalanan di Asia Tenggara

AirAsia.com, platform e-dagang perjalanan dan gaya hidup ASEAN, dan Agoda, platform perjalanan digital terkemuka di dunia, hari ini mengumumkan kerjasama strategik untuk memacu permintaan perjalanan di Asia Tenggara dan memperkukuh tawaran dalam aplikasi AirAsia.

Kerjasama antara kedua-dua penyedia perkhidmatan pelancongan dalam talian utama di rantau ini dapat memanfaatkan kekuatan platform digital masing-masing melalui perkongsian inventori penerbangan dan hotel untuk menawarkan akses kepada pelbagai tawaran produk, lebih kemudahan dan lebih nilai kepada para pelancong.

Inisiatif daripada kerjasama tersebut merangkumi pakej perjalanan, keistimewaan keahlian dan juga pemasaran produk bersama. Para pelanggan AirAsia.com kini dapat menikmati lebih banyak pilihan penginapan daripada Agoda melebihi 600,000 dengan tempahan melalui SNAP, yang menawarkan pakej penerbangan dan hotel dengan nilai terbaik.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes berkata, beliau berbesar hati kerana dapat mengumumkan kerjasama dengan Agoda, yang merupakan sebahagian daripada strategi menyeluruh kumpulan kami untuk meningkatkan permintaan perjalanan sementara kami menjangka pembukaan semula sempadan di Asia Tenggara dalam masa dekat.

“Para tetamu kami kini dapat menikmati pengalaman pengguna yang lebih lancar di laman AirAsia.com untuk menempah penerbangan dan hotel mereka melalui SNAP, yang merupakan cara baharu untuk melancong dengan nilai yang tidak dapat ditandingi.

“Kerjasama ini adalah sebahagian daripada komitmen kami untuk memberi lebih kemudahan, pilihan dan nilai kepada tetamu kami, terutamanya dalam situasi pasca-COVID ini.

“Situasi ini juga memberikan peluang kepada kami untuk bekerjasama secara inovatif dengan rakan strategik seperti Agoda, untuk menawarkan perkhidmatan perjalanan dan gaya hidup lebih baik kepada para tetamu.

“Selain itu, kami juga akan meningkatkan kerjasama strategik dengan pemain industri dan akan mengumumkannya pada masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Agoda berkata, John Brown berkata, mereka mementingkan inovasi dalam aspek kerjasama, teknologi, cara tempahan dibuat dan pengalaman perjalanan.

“Kami melihat permintaan perjalanan terus meningkat, dan kerjasama kami dengan AirAsia akan memberikan tawaran lebih nilai dan lebih mudah kepada para pelancong untuk melancarkan perjalanan mereka.

“Selain itu, kerjasama antara kedua-dua jenama pelancongan terkenal di Asia Tenggara ini dijangka akan memberi impak lebih luas, seterusnya memberi keyakinan kepada penyedia penginapan, penyedia hospitaliti dan pemain industri penerbangan yang berkaitan.

“Justeru, kerjasama secara inovatif amat penting untuk kita bersama-sama mencari penyelesaian dan memacu permintaan perjalanan dan membantu industri pelancongan secara menyeluruh,” katanya.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button