Tuduhan ke atas Ahmad Maslan tiada kaitan dengan 1MDB
“FAHAM. Tidak bersalah.” Jawapannya jelas, lantang dan tidak kedengaran nada teragak-agak keluar dari mulut Datuk Seri Ahmad Maslan kepada mahkamah sejurus selepas dua pertuduhan dibacakan ke atasnya.
Selepas memberi jawapan tersebut, Ahmad mengukir senyuman dan mengangkat keningnya sambil menoleh ke belakang dari kandang tertuduh.
Di bangku yang menempatkan wakil media dan orang awam, hadir pada hari sebutan perbicaraan Ahmad hari ini ialah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Penerangan parti, Tan Sri Anuar Musa dan rakan-rakan lain termasuk Tan Sri Noh Omar, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Datuk Dr. Asyraf Wajidi Dusuki dan Datuk Seri Tajuddin Rahman (hadir bertongkat)
Pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa terhadap Ahmad, 54, yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi tadi yang sepatutnya berkaitan dengan pengubahan wang haram dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Tetapi pertuduhan yang dibacakan ke atas Ahli Parlimen Pontian itu ialah isu kompaun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Ahmad dituduh menerima RM2 juta kononnya wang itu diterima daripada 1MDB.
Dan kegagalan Ahmad melaporkan pendapatan sebenar dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan bagi Tahun Taksiran 2013 bertentangan dengan Seksyen 113 (1) (a) Akta Cukai Pendapatan 1967 (Akta 53) dengan tidak mengisytiharkan pendapatan yang diterima daripada Najib berjumlah RM2 juta melalui cek tunai AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 November 2013 yang ditunaikan pada hari sama.
Sama ada wang dari akaun Najib itu adalah wang dari 1MDB, belum dibuktikan dan kini dibicarakan di mahkamah. Persoalan yang sama, sama ada terdapat perbuatan jenayah dalam kes 1MDB, juga belum dibuktikan dan kini, dibicarakan di mahkamah.
Tindakan mengkompaun adalah pra-matang (premature) dan kini, satu Judicial Review telah difailkan oleh Ahmad.
Isunya disini jelas. Sedangkan wang 1MDB belum dibuktikan sama ada wang yang ada di dalam akaun Datuk Seri Najib Tun Razak atau tidak, mereka kini menuduh penerima-penerimanya sebagai menerima wang haram.
Wang itu pun belum dibuktikan haram, macam mana ada reasonable cause Seksyen 4 (1) AMLA yang mengatakan Ahmad terima hasil wang haram?
Sama juga seperti yang dihadapi oleh bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Samad yang juga dihadapkan ke mahkamah pagi tadi bagi menghadapi satu pertuduhan – pengubahan wang haram.
Apabila Ahmad tidak menerima cek tunai yang keluar dari akaun Datuk Seri Najib, tak kan nak kata, terima juga? Tidak ada bukti, tuduhan umpama fitnah.
Sebagai Ahli Parlimen Pontian yang masih memberi khidmat kepada masyarakat, ke mana Ahmad akan lari jika pasport antarabangsa berada ditangannya?
Namun Ahmad melalui peguamnya, Hamidi Mohd. Noh, bersetuju menyerahkan pasport antarabangsanya kepada mahkamah sehingga kes ini selesai. – SM