Politik

Ahli Parlimen PN minta pusat tangani isu kemudahan luar bandar

AHLI Parlimen Perikatan Nasional (PN) meminta Kerajaan Perpaduan menangani segera masalah kemudahan asas di luar bandar terutama di Kelantan ekoran terjejas teruk akibat banjir baru-baru ini.

Desakan itu dibuat selepas ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) Kelantan meninjau keadaan laluan utama yang terputus dan memberi kesan besar kepada penduduk di Kampung Jubakar Pantai, di Tumpat hari ini.

Lawatan diketuai Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bersama Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Mumtaz Mat Nawi dan Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff.

Serta Ahli Parlimen Pasir Mas, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari dan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Takiyuddin meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, agar memberikan perhatian khusus terhadap masalah ini yang telah sekian lama membelenggu penduduk setempat.

“Laluan ini sangat penting untuk kehidupan harian penduduk. Kehilangan akses ini telah menjejaskan urusan kerja, pendidikan, dan keperluan asas mereka.

“Saya berharap Kerajaan Pusat segera menyediakan peruntukan khas bagi membaik pulih laluan ini,” katanya.

Mumtaz juga menzahirkan rasa simpati terhadap kesusahan dialami oleh lebih 1,400 penduduk yang bergantung kepada laluan tersebut setiap hari.

“Penduduk kampung telah terpaksa mengambil inisiatif sendiri dengan membina jambatan kayu nibong bagi menggantikan laluan yang terputus ini. Namun, jambatan ini hanya mampu dilalui oleh motosikal.

“Ia tidak selamat untuk kegunaan jangka panjang. Keadaan ini amat mendesak, dan tindakan segera perlu diambil oleh pihak kerajaan,” katanya.

Ahli Parlimen PN yang hadir menegaskan bahawa isu infrastruktur luar bandar seperti ini perlu diberi perhatian serius oleh Kerajaan Pusat.

Mereka turut menggesa perancangan jangka panjang bagi memastikan kejadian seperti ini tidak berulang, sekali gus meningkatkan kesejahteraan rakyat di kawasan luar bandar.

Penduduk kini menanti langkah segera daripada pihak berkuasa untuk menyelesaikan masalah ini yang telah menjejaskan kehidupan harian mereka.

Ahli-ahli Parlimen PN yang hadir itu juga menegaskan bahawa perhatian serius terhadap isu ini dilihat sebagai satu keperluan mendesak untuk menjamin kelangsungan kehidupan mereka.

“Kami akan terus memperjuangkan hak rakyat sehingga masalah ini diselesaikan. Penduduk kampung tidak boleh dibiarkan terus menanggung beban ini tanpa tindakan yang konkrit,” tegas Mumtaz.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button