Nasional

Ahli Parlimen Bukit Gantang nafi sertai PKR

IPOH – Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal menafikan laporan bahawa beliau telah menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR), sebaliknya masih kekal sebagai wakil rakyat Bebas. 

Beliau menegaskan beliau tidak pernah memohon untuk menyertai mana-mana parti selepas keluar daripada UMNO dan Barisan Nasional (BN) tahun lalu. 

“Kenyataan tersebut adalah tidak benar sama sekali. Saya kekal Bebas dan tidak menyertai mana-mana parti. 

“Pihak yang mengeluarkan berita tidak benar ini seharusnya bertanggungjawab dan menarik balik (laporan) bagi membersihkan nama saya,” katanya dalam satu kenyataan di sini, malam ini. 

Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, dalam kenyataan malam ini, dilaporkan berkata permohonan Syed Abu Hussin untuk menyertai parti itu dipersetujui pada Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR hari ini selepas melalui penelitian.

Syed Abu Hussin mengumumkan keluar daripada UMNO dan BN pada 27 Jun 2018 selepas merampas kerusi Bukit Gantang daripada PAS pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Perak mempunyai 24 kerusi Parlimen dengan 15 daripadanya milik PH terdiri daripada DAP (7), PKR (3), Amanah (2), Bersatu (3), manakala Barisan Nasional (8) dan Bebas (1) — BERNAMA 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button