Ahli MPP, perwakilan keluar dewan
Di sebalik perjalanan Kongres Nasional PKR 2019 yang berlangsung dengan baik, tindakan sebahagian Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR dan anggota perwakilan yang keluar dewan persidangan mencetuskan situasi luar jangkaan.
Sesi perbahasan ucapan dasar selepas waktu rehat tengah hari melihat sebahagian Ahli MPP meninggalkan pentas dan ratusan anggota perwakilan keluar dewan secara berperingkat, sehingga menyebabkan hampir separuh tempat duduk di dalam dewan kosong.
Kedudukan tempat Ahli MPP di atas pentas turut berubah apabila Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan beberapa MPP keluar meninggalkan dewan persidangan.
Kira-kira 3.30 petang, media menerima nota jemputan daripada Setiausaha Politik kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Hizwan Ahmad yang menyatakan sidang media tergempar akan diadakan di sebuah hotel di Ayer Keroh, tanpa memperincikan butiran sidang media itu.
Bercakap pada sidang media itu, Mohamed Azmin berkata beliau meninggalkan sesi perbahasan kongres itu petang ini atas alasan pentas perbahasan bertukar menjadi medan ‘serangan peribadi’ terhadap dirinya.
Mohamed Azmin berkata persetujuan yang dicapai antara beliau serta beberapa MPP bersama Presiden parti Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 4 Dis, antara lain telah bersetuju pembahas tidak dibenarkan menyinggung, menyindir dan menyerang mana-mana pihak memandangkan ia boleh menjejaskan objektif kongres.
”Kongres tahunan adalah terbaik untuk memperkukuh muafakat dan kesatuan anggota Keadilan (PKR). Wahana ini adalah medan untuk membahaskan dasar-dasar parti yang kini merupakan parti peneraju dalam kerajaan,” katanya.
Sidang media itu turut disertai 21 MPP lain antaranya Naib Presiden Zuraida Kamaruddin, Tian Chua, Ketua Wanita Haniza Mohamed Talha, Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Muhammad Hilman Idham, Ahli MPP Datuk Saifuddin Abdullah, R. Sivarasa, Elizabeth Wong dan Amirudin Shaari.
Beliau turut mendakwa pembahas yang dipilih juga berat sebelah dan tidak membawa suara akar umbi sebaliknya hanya ‘mengangkat impian satu sosok’ dan menyerang pimpinan yang lain.
Anwar, yang ditemui selepas tamat hari pertama kongres, berkata adalah sukar untuk mengawal ucapan semua perwakilan dan mereka telah dinasihatkan supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang menyinggung mana-mana pihak.
“Saya nak larang macam mana Saya kata kita (pemimpin) boleh ditegur… saya dah set dalam ucapan dasar, jadi terpulang kepada perwakilan,” katanya.
Ditanya bahawa Mohamed Azmin berasa hati dengan kisah klasik tentang Si Kitul dan Raja Mendeliar, Anwar berkata: “Itu hanya sejarah Melayu. Apa kena mengena dengan Si Kitul… dia (Mohamed Azmin) terasa itu masalah dia. Saya hanya beri pengajaran (dari kisah sejarah itu) dan itu kenyataan sejarah dalam Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu).”
Sementara itu, Ketua Penerangan PKR Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata sebagai sebuah parti yang progresif dan dinamik, semua pemimpin serta anggotanya bebas meluahkan pendapat tentang sesuatu perkara yang memberi kepentingan kepada parti.
Justeru, beliau berkata PKR pada asasnya bersikap terbuka dengan tindakan beberapa pemimpin dan anggota yang keluar daripada dewan ketika sesi perbahasan berlangsung.
Beliau berkata pemimpin yang terlibat itu mempunyai ruang dan peluang memberi penjelasan mengenai tindakan mereka itu serta mengutarakan pendapat mereka ketika sesi pengulungan kongres itu esok.
“PKR ini sejak 20 tahun ditubuhkan dahulu adalah berlandas prinsip demokrasi dan keterbukaan untuk semua bersuara,” katanya.
– BERNAMA