Agong ziarah pusara Almarhum ayahanda
YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan berangkat menziarahi pusara Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah di Makam Diraja Pekan, Pahang.
Turut mengiringi Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan anakanda, Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Turut berangkat Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, Tengku Panglima Muda Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah dan YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah.
Sebelum itu Al-Sultan Abdullah berkenan berangkat menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Imam Ash-Shafie KotaSAS Kuantan.
Turut berangkat mengiringi Seri Paduka Baginda, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Yang di-Pertuan Agong turut menjadi tumpuan rakyat jelata hari ini apabila beberapa portal berita melaporkan Kerajaan ingin mendapatkan perkenanan Al-Sultan Abdullah bagi pengisytiharan darurat pandemik Covid-19 yang penularannya memasuki gelombang ketiga.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan bergegas ke Kuatan, Pahang selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Kabinet di Putrajaya pagi tadi.
Dakwaan tersebut dikuatkan lagi apabila Mesyuarat Khas Kabinet dihadiri oleh ketua agensi kerajaan yang merupakan sebahagian dariapda Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Mereka adalah Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang.