Nasionalpilihan

Agong mahu persidangan Parlimen dilakukan segera

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-​Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadli Shamsuddin berkata, Seri Paduka Baginda bertitah sedemikian supaya Ordinan-Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dapat dibahaskan oleh Ahli-ahli Dewan Rakyat.

“Seri Paduka Baginda bertitah bahawa Parlimen adalah satu platform penting untuk wakil-wakil bersidang bagi membincangkan pelbagai isu khususnya berkaitan penularan Covid-19.

“Ahli-ahli Dewan Rakyat boleh berbincang berkenaan peruntukan perbelanjaan kerajaan bagi membantu rakyat yang di dalam kesempitan dan bagi memulihkan ekonomi negara,” katanya.

Terdahulu, Seri Paduka Baginda berkenan berangkat menghadiri dan mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara yang selesai lewat petang tadi.

Seri Paduka Baginda turut menzahirkan harapan agak angka jangkitan wabak Covid-19 dapat dilandaikan dengan segera dan berpandangan vaksinasi adalah satu-satu alan keluar bagi penularan wabak Covid-19 di dalam negara.

Seri Paduka Baginda juga mahu kerajaan perlu bertinda tegas memudahkan birokrasi dan mempercepatkan proses vaksinasi kepada rakyat agar matlamat imuniti kelompok dapat dicapai seawal mungkin

“Yang di-Pertuan Agong juga menzahirkan setinggi penghargaan atas sokongan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu yang mencerminkan keprihatinan tinggi terhadap kemaslahatan negara dan kelangsungan hidup rakyat.

“Setinggi penghargaan juga dizahirkan Seri Paduka Baginda terhadap petugas barisan hadapan dan rakyat yang bertungkus lumus mengorbankan masa serta penat lelah untuk memerangi penularan wabak Covid-19,” katanya.

Tambahnya, Seri Paduka Baginda juga mengajak rakyat untuk bersama0sama mendoakan agar negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah, dijauhi sebarang musibah dan Covid-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera.

Kesemua Raja-Raja Melayu hadir kecuali Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail yang diwakili Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, manakala Sultan Kelantan Sultan Muhammad V difahamkan tidak menghadiri sesi kali ini.

Perbincangan khas itu berlangsung kira-kira jam 2.30 petang tadi.

Ia merupakan kali kedua perbincangan khas seumpamanya diadakan di Istana Negara sejak Al-Sultan Abdullah menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Jan 2019. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button