Banjir

Agensi Pengurusan Bencana bersedia operasi 24 jam di Sabah

SUSULAN kejadian banjir yang berlaku di beberapa buah daerah di Sabah, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memaklumkan bahawa Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) NADMA yang beroperasi 24 jam setiap hari akan sentiasa memantau dan menyediakan laporan terkini situasi bencana di Sabah.

Amaran bencana seperti amaran hujan berterusan dan amaran banjir akan disampaikan kepada semua agensi tindak balas berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan. Ini termasuklah kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang bertindak sebagai sekretariat kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).


Berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh NDCC pada jam 6.00 pagi, 2 Julai 2024, jumlah mangsa yang ditempatkan akibat banjir di negeri Sabah adalah seramai 464 orang. la meningkat berbanding 437 mangsa pada jam 12.00 tengah malam. Tiga (3) daerah yang terkesan adalah Penampang, Putatan dan Tuaran manakala satu (1) kematian telah direkodkan di daerah Penampang.

Kesiapsiagaan menghadapi bencana seperti banjir di daerah tersebut dikoordinasi oleh Jawatankuasa
Pengurusan Bencana Daerah seperti pengaktifan Pusat Pemindahan Sementara (PPS), penyediaan dan keperluan bilik gerakan dan stor simpanan. JPBD juga bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk memastikan keperluan mangsa di pusat penempatan diperolehi sewajarnya.

Buat masa ini keadaan di Sabah adalah terkawal dan koordinasi di antara agensi yang diselaraskan oleh
Pegawai Daerah dan Setiausaha Kerajaan Negeri berjalan dengan amat baik.

NADMA telah meluluskan permohonan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah bagi menggunakan baki peruntukan Monsun Timur Laut (MTL) 2023/2024 Negeri Sabah berjumlah Ringgit Malaysia Empat Belas juta (RM14 juta) untuk pemberian bantuan bencana dan pengurusan pengoperasian bencana di luar musim MTL di negeri Sabah.

Jumlah ini termasuklah pemberian Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak Ringgit Malaysia Satu Ribu (RM1 ribu) kepada setiap Ketua Isi Rumah yang terkesan dengan banjir ini serta sumbangan Bantuan Wang Ihsan Kematian (BWI Kematian) sebanyak Ringgit Malaysia Sepuluh Ribu (RM10 ribu) diberikan kepada waris mangsa yang meninggal dunia akibat bencana banjir.

NADMA menasihati orang ramai agar berwaspada dengan keadaan cuaca semasa dan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga, peka dengan pengumuman melalui media massa dan menunggu arahan sekiranya diarahkan berpindah ke PPS. Maklumat dan amaran cuaca terkini boleh diperolehi melalui pelbagai medium iaitu media elektronik, media sosial, laman web rasmi, aplikasi myCuaca, serta
MET Malaysia Hotline di talian 1-300-22-1638.

Artikle Berkaitan :>

Hebatnya guru dari Sabah, menang Anugerah Guru Dedikasi Cambridge 2024

Banjir kilat: 4 PPS dibuka di Melaka, Selangor dan NS

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button