ADUN Melor meninggal dunia
AHLI Dewan Undangan Negeri Dr. Yusnan Yusof meninggal dunia sekitar pukul 2 pagi tadi di kediamannya.
Perkara tersebut dimaklumkan Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
“Menerima khabar duka ADUN Melor merangkap Timbalan EXCO Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri Kelantan Almarhum Dr Yusnan Yusof telah kembali ke rahmatullah sekitar jam 2 pagi tadi.
“Beliau seorang yang sangat komited dalam tugasan dan banyak menyumbang kepakarannya dalam bidang pendidikan sejak menjadi ahli akademik di UIAM dahulu.
“Semoga Allah mengampuni, merahmati dan menempatkannya bersama orang-orang yang soleh,” katanya.
Sementara itu anak Allahyarham, Mohd Auzaie memaklumkan jenazah akan disembahyangkan di Masjid Ketereh hari ini.
“InsyaAllah solat jenazah akan diadakan jam 2 petang di Masjid Ketereh. Mohon kepada semua untuk patuh prosedur operasi standard (SOP),” katanya.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan enam orang anak.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Allahyarham dari PAS menang dengan mendapat 7,820 undian ketika menentang Azmi Ishak daripada parti Barisan Nasional (BN) yang mendapat 7,173 undi.