Politik

ADUN lompat parti: Salahuddin patut berterima kasih kepada PKR

Timbalan Presiden Amanah Datuk Seri Salahuddin Ayub disifatkan sebagai keliru antara rakan dan musuh berhubung penyertaan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri ADUN) Amanah di Johor ke dalam Parti Keadlilah Rakyat.

Setiausaha AMK Malaysia Syukri Razab berkata, Salahuddin sewajarnya berterima kasih kepada PKR kerana memberi ruang kepada ADUN terbabit untuk menyertai parti pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.

“Saya merasakan Timbalan Presiden Amanah itu sedang keliru untuk membezakan antara rakan dan musuh.

“Apakah Salahuddin mahu PKR menolak penyertaan tiga ADUN ini dan membiarkan mereka membeku dalam Amanah sedangkan jiwa mereka sudah tidak lagi bersama Amanah?

“Salahuddin sewajarnya berterima kasih kepada PKR kerana memberi ruang alternatif kepada tiga pemimpin ini untuk terus setia bersama Pakatan Harapan,” kata Syukri dalam satu kenyataan.

Menurutnya, adalah tidak manis untuk Salahuddin menanggapi hijrah ketiga-tiga ADUN tersebut secara negatif kerana mereka memilih untuk bersama PKR dan bukannya PPBM, UMNO atau Perikatan Nasional.

Syukri turut menasihatkan Salahuddin untuk bermuhasabah diri dan menjauhi sikap bermuka-muka.

“Salahuddin kelihatan begitu ‘terusik’ apabila Keadilan menerima penyertaan mantan ahli Amanah, lalu Salahuddin sifatkan Keadilan sebagai tidak hormat semangat Pakatan.

“Bagaimana pula sikap Salahuddin sendiri yang masih akrab dengan kelompok yang tidak pun mahu bersama dalam gabungan Pakatan Harapan malah kerap menyerang Presiden Keadilan secara terbuka?

“Salahuddin perlu bermuhasabah diri dan menjauhi sikap parti lama beliau yang gemar bermain politik bermuka-muka atau politik dua kolam. Mahu bersama Keadilan tapi dalam masa yang sama masih tidak mahu keluar daripada kelambu Tun Dr. Mahathir Mohamad,” katanya.

Syukri percaya sikap bermain ‘dua kolam’ menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan ahli Amanah dan mungkin menjadi penyebab berlakunya hijrah ahli Amanah ke dalam PKR yang dilihat lebih jelas dan tegas dengan prinsip.

Salahuddin semalam menyatakan perasaan kurang senang dengan perkembangan terkini yang melanda pakatan pembangkang apabila tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Amanah di Johor bertindak menyertai PKR.

Berlandaskan prinsip setiakawan, katanya tidak sepatutnya mana-mana komponen Pakatan Harapan menerima ahli-ahli dalam kalangan rakan sendiri.

“Memahami semangat setiakawan dalam PH, sepatutnya tidak manis mana-mana parti dalam komponen PH menerima mana-mana ahli parti rakan.

“Saya rasa semangat in adalah disepakati dalam mana-mana parti yang membentuk pakatan atau gabungan,” katanya dalam ciapan di laman Twitter.

Tiga ADUN itu adalah Khairuddin A Rahim (Senggarang), Faizul Amri Adnan (Serom) dan Muhamad Said Jonit (Mahkota).-SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button