ADUN DAP cemas parti ingin bekerjasama dengan UMNO
AHLI Dewan Undangan Negeri DAP di Perak, Terence Naidu amat cemas dengan laporan bahawa DAP di Perak bersedia untuk bekerjasama dengan mana -mana parti politik terutama dengan UMNO.
ADUN Pasir Bedamar itu berkata, dia bukan jenis yang akan mengadakan kerjasama membabi buta dengan menyokong mana-mana pihak yang salah guna kuasa dan korupsi
“Saya rasa amat risau dan cemas apabila timbul kenyataan yang dilapor di media massa utama bahawa DAP di Perak bersedia untuk bekerjasama dengan mana -mana parti politik, terutamanya parti UMNO, untuk ‘menamatkan’ crisis pergolakan kuasa yang sedang berlaku di Perak.
“Kita harus ingat bahawa sebuah kerajaan Pakatan Harapan sah yang dipilih rakyat melalui Pilihan Raya Umum ke-14 telah ditamatkan riwayatnya oleh pengkhianatan segelintir bekas pemimpin PH dengan bantuan UMNO,” kata Terence.
Terence mendakwa perkembangan politik di Perak ketika ini dan pergolakan kuasa pada 2009 adalah mainan parti UMNO dan pemimpin tertingginya.
Beliau menegaskan, sebagai parti yang berprinsip, DAP tidak patut berganjak daripada pendirian untuk tidak bekerjasama dengan mana-mana pemimpin yang tidak berprinsip.
“Kita tidak harus lupa, bahawa pencaturan terkini adalah hanya untuk ‘menukar’ MB bagi manfaat mereka sendiri! Sekiranya mereka hanya ingin MB dari UMNO sahaja, maka Perikatan Nasional akan kekal menerajui kerajaan negeri. Kalau tidak, mengapa turunkan MB dari Bersatu?
“Akhir kata, pendirian saya, Pakatan Harapan tidak seharusnya bekerjasama dengan UMNO dalam gabungan kerajaan perpaduan Perak, ini kerana pertukaran Menteri Besar dan exco negeri Perak ini hanyalah permainan politik pemimpin atasan,” kata Terence.
Kenyataan Terence itu bercanggah dengan pendirian Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming sebelum ini bahawa parti itu memutuskan untuk menjalin kerjasama dengan UMNO di Perak bagi membentuk kerajaan berbilang kaum yang bersih, kukuh dan stabil.
Beliau berkata, keputusan berkenaan mengambil kira situasi di negeri itu yang tiada satu parti mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan yang stabil selepas menteri besar sebelum ini, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu hilang keyakinan majoriti dan kemudiannya mengumumkan peletakan jawatan.
Kor Ming yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Aulong berkata, kesediaan DAP Perak untuk bekerjasama dengan UMNO membuktikan dua perkara.
“DAP adalah parti berjiwa besar yang sanggup meletakkan kesejahteraan rakyat sebagai agenda keutamaan.
“Momokan DAP adalah “anti-Melayu atau anti-Islam” selama ini adalah tidak benar sama sekali,” menurutnya.-SM