Adik-adik kelab debat, tolong layan Rafizi meroyan nak debat tu…
SEREMBAN – Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli kali ini ‘mencuba nasib’ dengan mencabar Penolong Setiausaha Agung Pas, Mohd Syahir Che Sulaiman untuk berdebat dengannya mengenai hal ehwal ekonomi.
Cabaran itu dibuat selepas Menteri Besar Kedah yang juga Pengarah Pilihanraya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menolak untuk berdebat dengannya.
“Azmin sudah tolak, Sanusi sudah tolak, saya nak tengok sama ada Syahir yang diangkat sebagai tokoh nombor satu ekonomi dalam PN tampil ke hadapan dan sudah beri ruang (berdebat) sepenuhnya.
“Saya akan menulis secara rasmi (jemputan berdebat) dan tunggu dia nak jawab apa,” katanya ketika ditemui selepas Jelajah Madani Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat pada Sabtu malam.
Sebelum ini media melaporkan, Azmin yang juga bekas Menteri Kanan Ekonomi bersetuju menyahut cabaran debat tersebut, namun disertakan dengan syarat bahawa Rafizi perlu membuktikan telah berjaya dalam pelaksanaan dan pemulihan ekonomi negara.
Dalam pada itu, Rafizi berkata, beliau akan berterusan mempelawa wakil PN untuk berdebat kerana budaya itu perlu dibawa demi pembaharuan negara.
“Ditambah pula dengan tokoh-tokoh daripada PN berkali-kali memainkan sentimen yang berasas mengenai ekonomi negara sedangkan inflasi sudah turun, prestasi pasaran saham baik, tetapi mereka masih membohongi rakyat dan mengulangi benda tidak betul.
“Kalau zaman saya pembangkang dahulu, saya yang cabar menteri untuk berbahas, tetapi menteri tak nak. Jadi, sekarang kita sudah beri ruang sepenuhnya,” jelasnya.
Jadi pembangkang sudah. Jadi Kerajaan pun sudah. Sekarang tambah satu lagi di dalam resume Rafizi, iaitu jadi pembangang.
Jadi kerajaan bukan berdebat, tetapi buktikan dengan hasil yang dicapai. Jika ekonomi masih lagi tunggang-langgang dan tiada hala tuju yang jelas, janganlah cuba nak mengalih perhatian rakyat kepada isu remeh-temeh.
Tempoh hari di Kedah ketika berdepan dengan wakil dari Pertubuhan Peladang sudah kesipuan kini masih ada hati lagi mencabar pelbagai pihak untuk berdebat.
Mungkin Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri perlu menggugurkan Rafizi daripada kabinet kerana terlalu jelas dia sudah muflis dan bankrap idea untuk menangani situasi ekonomi negara.
Tubuhkan satu unit debat di dalam PKR dan jadikan beliau sebagai yang dipertua.