Rencah Hidup

Ada juga ambil kesempatan coronavirus untuk “cuti-cuti Malaysia”

MUNGKIN berpegang di mana ada masalah di situ ada peluang, seorang pengguna Facebook mendapat idea untuk tinggal  di dalam hotel dan diberi makanan tiga kali sehari secara percuma selama 14 hari 13 malam. Mana nak dapat peluang macam ni kan?

Cara yang dicadangkan oleh pengguna Facebook itu agak kontroversi dan mungkin juga satu kesalahan. Sudah pasti ia satu kesalahan kerana ia melibatkan penipuan dan agak licik.

Caranya mudah. Pengguna Facebook itu mencadangkan jika anda baru pulang dari negara China isytiharkan diri anda tidak sihat kepada pihak berkuasa.

Dalam hantaran bertulisan Cina dan boleh diterjemahkan secara automatik oleh Facebook ke dalam bahasa Inggeris, wanita tersebut berkata, kemudahan perkhidmatan kesihatan di Malaysia adalah terbaik.

Dia berkongsi beberapa keping gambar keadaan bilik penginapan yang selesa disediakan kepada mereka yang dikuarantinkan berikutan kes coronavirus. Katanya, berdasarkan foto tersebut membuktikan kerajaan benar-benar sayangkan rakyat.

“Asalkan anda baru pulang dari China, beritahu pihak berkuasa anda tidak sihat.

“Kerajaan akan sambut anda dengan cara yang terbaik, krew kapal terbang menyambut anda dalam pakaian seragam mereka.

“Anda boleh menikmati cuti-cuti Malaysia. Percutian percuma 14 hari 13 malam di Nilai.  Persekitaran indah, perabot yang lengkap. Makan tiga hari sekali dengan layanan yang bagus. Malaysia boleh!” kata pengguna Facebook tersebut.

Tidak pasti sama ada dia serius atau hanya bercanda. Namun idea yang dilontarkan mungkin akan ditiru oleh orang lain yang mahu mengambil kesempatan untuk mendapatkan percutian percuma. Itupun kalau orang tersebut sudah cukup berani untuk tinggal satu hotel dengan mereka yang dikuarantikan dari wabak maut coronavirus kitu.

Apapun sudah pasti pihak berkuasa Malaysia tidaklah begitu naif dan mudah tertipu. Teknologi kesihatan kita sudah cukup tinggi untuk mengesan penyakit termasuk penyakit menipu.

Mungkin ketika ini pengguna Facebook yang melontarkan idea tersebut dalam keadaan yang tidak tenteram. Dia mungkin pada bila-bila masa akan dilawati oleh pihak yang berkenaan.

Harap-harap dia tidaklah sampai bercuti-cuti Malaysia dalam kawasan yang berpalang, dikawal 24 jam oleh anggota berpakaian seragam dan diberikan makanan tiga kali sehari dengan menu yang dia sendiri tidak pernah bayangkan.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button