BeritaHiburan

Ada duit, tak ada duit tetap tenang, rezeki Allah – Wahid Senario

APABILA Azli dari kumpulan pelawak tersohor negara Senario membuat penampilan di Maharaja Lawak Mega, ramai terfikir di mana ahli yang lain.

Ahli kumpulan yang paling kurang disorot oleh media ialah Wahid, yang dikatakan kini tinggal di Ipoh Perak.

Gambar tular

Ekoran tersebar gambar dalam media sosial imej ‘alim’ Wahid Senario dalam satu majlis ilmu di masjid, peminat beranggapan anggota kumpulan Senario itu sudah berhijrah dan bersara terus daripada dunia hiburan.

Jadi pendakwah

Malah ada juga khabar yang mengatakan Wahid, yang kini menetap di Ipoh sedang mendalami ilmu agama dan sudah menjadi pendakwah.

Menjawab perkara itu, Wahid mengakui sekarang dia lebih banyak menghabiskan masa di masjid namun tidak pernah meninggalkan dunia hiburan.

“Saya lakukan ini kerana mahu mendekatkan diri dengan Allah SWT, menunaikan tanggungjawab sebagai seorang Islam.

“Saya melakukan perkara yang sepatutnya dilakukan sebagai seorang Islam tapi saya tetap seperti dahulu.

“Sebelum bersama TV3 lagi, saya sudah lakukan macam-macam perkara untuk mencari rezeki tapi mungkin Allah tetapkan periuk nasi saya dalam bidang hiburan, jadi saya teruskan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Jarang dapat undangan

Menurut Wahid, dia jarang mendapat undangan untuk membuat persembahan apatah lagi setelah menetap di Ipoh.

“Memang tak ada orang panggil. Saya pun senyap saja, saya tak aktif dalam media sosial, apabila kita tak promosi, tak ada orang jemput,

“Berlakon? Itu memang saya nantikan. Memang saya suka. Tahap umur begini bukan tahap suka-suka, saya nak sampaikan kebaikan,” katanya.

Tiada pendapatan tetap

Menurutnya, walaupun tidak lagi mempunyai pendapatan tetap seperti ketika bersama TV3 dahulu, dia tenang dan rasa seronok.

“Ada duit, tak ada duit tetap tenang, rezeki Allah. Cuma kalau bank call, memang rasa pening jugalah.

“Kalau ada jemputan, adalah pendapatan. Isteri saya banyak membantu,” katanya.

Lebih kepada dakwah

Dalam pada itu, Wahid berkata, dia juga menerima undangan sebagai tetamu jemputan dalam program berbentuk dakwah yang memberikan dia sedikit pendapatan.

“Program sembang santai bolehlah. Seronok, sebab saya ni ilmu agama pun kurang, dapat berjumpa ustaz. Berdakwah ni takut juga, tapi seronok.

“Saya tetap berdakwah, tak serius berdakwah, saya bukan level ustaz, tapi kebetulan terlibat dalam aktiviti dakwah. Saya ajak orang berdakwah, luaskan Islam,” katanya.

Hubungan dengan Senario

Mengenai hubungannya dengan anggota kumpulan Senario yang lain, Wahid berkata, mereka masih saling berhubung melalui group WhatsApp.

“Kumpulan Senario tidak pernah berpecah. Hubungan kami masih macam dulu, cuma apabila masing-masing tinggal berjauhan, tak bolehlah selalu berjumpa seperti dulu.

“Kali terakhir kami berjumpa pada 2016 atau 2017. InsyaAllah kami mungkin akan berjumpa semula tak lama
lagi,” katanya. – Perak Gazette

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button