Nasional

Acryl Sani dilantik jadi KPN, Menteri KDN gagal hadirkan diri

DATUK Seri Acryl Sani Abdullah Sani, 59, secara rasminya dilantik sebagai Ketua Polis Negara ke-13 bagi menggantikan Tan Sri Abdul Hamid Bador yang tamat kontrak pada hari ini.

Pelantikan itu dibuat dalam majis serah terima tugas yang disaksikan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ismail Mohamed Said, di Bukit Aman.

Turut diadakan, upacara serah terima tugas Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) di antara Pengerusi Perkep Malaysia, Puan Seri Nor Azrin Marzuki dengan Datin Seri ir Zaitun Mohd Isa disaksikan isteri Ismail, Datin Sri Nor Azimah Abdul Mubin.

Di dalam majlis tersebut, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin bagaimanapun gagal hadir dilaporkan kerana urusan kerja.

Sebagai rekod, Acryl Sani sebelum ini dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara pada 14 Ogos tahun lalu bagi menggantikan Datuk Seri Mazlan Mansor yang bersara wajib.

Beliau dilahirkan pada 3 Oktober 1961 di Petaling Jaya, Selangor, dan memiliki kelulusan Ijazah Sarjana Sains (Pengurusan) dari Universiti Utara Malaysia serta Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam (Kepujian).

Acryl Sani mula menyertai polis pada 2 Februari 1986 sebagai Kadet Asisten Superintenden Polis (ASP) DAN pernah berkhidmat sebagai Ketua Penolong Pengarah dan Timbalan Pengarah di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) serta menjawat jawatan sebagai Timbalan Pengarah di Jabatan Pengurusan.

Acyril Sani juga pernah dilantik sebagai Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Pesuruhjaya Polis Sarawak, Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman.

Beliau memegang jawatan Pengarah beberapa jabatan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, iaitu Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi serta Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara pada 14 Ogos tahun lalu. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button