AgamaEkonomi

Abdul Fatah ketuai delegasi Angkasa ke New Delhi kukuh kerjasama koperasi global

Presiden ANGKASA merangkap Naib Presiden Ikatan Koperasi Antarabangsa Asia dan Pasifik (ICA-AP) dan  Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah mengetuai delegasi koperasi Malaysia ke Persidangan Koperasi Global dan Perhimpunan Agung ICA 2024 (International
Cooperative Alliance Global Cooperative Conference) di Bharat Mandapam, New Delhi, India.

Ia berlangsung selama enam hari bermula 25 November 2024 hingga 30 November 2024.

Persidangan yang dihadiri lebih 3000 delegasi dari 100 negara termasuk 41 delegasi Malaysia itu bakal dirasmikan oleh Perdana Menteri India, Narendra Modi. Hadir sama ialah Menteri Dalam Negeri dan Kerjasama Kesatuan India, Shri Amit Shah dan Presiden ICA, Dr. Ariel Guarco.

Persidangan itu juga akan menyaksikan perasmian Tahun Koperasi Antarabangsa (International Year of Cooperatives) 2025 (IYC2025) yang bertemakan ‘Koperasi Membina Kesejahteraan Sejagat’ (Cooperatives Build a Better World) yang dijadualkan berlangsung pada 25 November 2024, dengan kehadiran pemimpin koperasi global dan wakil-wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Abdul Fattah turut diberi penghormatan untuk menyampaikan ucapan dasar pada perasmian Tahun Koperasi Antarabangsa yang memberi fokus kepada kelestarian gerakan koperasi menerusi penglibatan generasi muda.

Related Articles

Persidangan yang dianjurkan secara dwitahunan ini menjadi platform penting pemimpin koperasi untuk berkongsi pandangan dan strategi bagi mengukuhkan koperasi sebagai pemain utama dalam pembangunan ekonomi dan sosial global.

Perbincangan turut memberi fokus kepada memperkasa dasar dan ekosistem keusahawanan, memperkukuh identiti koperasi, memupuk kepimpinan strategik dalam membentuk masa depan yang lebih adil, saksama, dan
mampan.

Bertemakan ‘Koperasi Membangun Kemakmuran untuk Semua’ (Cooperatives Build Prosperity for All), persidangan itu mengiktiraf koperasi sebagai entiti yang berfokuskan kepada rakyat, berlandaskan tujuan dan didorong oleh kemajuan.

Acara itu juga bertujuan untuk memperkukuh peranan koperasi dalam pembangunan sosial dan ekonomi global dengan memberi peluang kepada para peserta untuk bertukar idea dan pengalaman.

Sesi perbincangan akan memberi tumpuan kepada beberapa pendekatan inovatif dalam meningkatkan produktiviti, kemampanan dan daya saing koperasi dalam menghadapi cabaran global.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif untuk memperkukuh hubungan antarabangsa, ANGKASA turut memperlihatkan kejayaan model koperasi di Malaysia yang menjadi rujukan dalam beberapa sektor termasuk pembiayaan Islam, pembangunan produk dan perkhidmatan Halal, dan pembangunan komuniti seperti koperasi sekolah dan koperasi kariah masjid.

Usaha ini bertujuan untuk mempertingkatkan perdagangan koperasi ke koperasi (C2C) di peringkat antarabangsa sekaligus meningkatkan daya saing gerakan ini dalam landskap ekonomi.

Anggota Lembaga ANGKASA merangkap Ahli Lembaga International Cooperative Alliance (ICA), Dato’ Haji Kamarudin Ismail turut dijangka memberi pembentangan berkenaan kejayaan model gerakan koperasi sekolah di Malaysia pada 27 November 2024.

Terdapat 35 buah koperasi sekolah telah mencapai perolehan RM1 juta manakala sebuah lagi mencatatkan perolehan RM2 juta.

Dalam pada itu turut akan diadakan Perhimpunan Agung ICA pada 29 November 2024 di mana anggota ICA global akan berhimpun secara rasmi untuk merumus dan melaksanakan dasar mengenai pelbagai isu utama yang boleh memberi impak kepada ICA dan gerakan koperasi global serta meluluskan Pelan Strategik ICA dan rangka kewangannya.

ICA yang ditubuhkan pada tahun 1985 merupakan badan bukan kerajaan (NGO) yang bertanggungjawab dalam
menyatukan, mewakili dan memberikan perkhidmatan kepada tiga juta perusahaan koperasi yang mewakili lebih satu bilion anggota koperasi.

Abdul Fattah akan turut mengetuai delegasi Malaysia mengadakan kunjungan hormat ke atas Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke India, Tuan Yang Terutama Datuk Muzafar Shah Mustafa pada 28 November 2024. Dalam kunjungan itu, ANGKASA akan memeterai Memorandum Persefahaman dengan Indian Farmers Fertilizer Cooperative
(IFFCO) dan Iran Chambers of Cooperatives (ICC).

Beliau selaku Naib Presiden ICA-AP juga akan menghadiri Mesyuarat Serantau International Cooperative Alliance Asia dan Pasifik (ICA-AP) bagi membincangkan pengukuhan koperasi dan kerjasama di rantau ini.

Kehadiran delegasi ANGKASA ke ICA Global Cooperative Conference 2024 merupakan peranan dan komitmen sebagai badan puncak di peringkat nasional dan antarabangsa dalam menerajui pembangunan perniagaan gerakan koperasi negara.

Penyertaan ANGKASA sebagai wakil Malaysia membawa imej positif gerakan koperasi negara yang berada di landasan tepat untuk terus memacu pertumbuhan ekonomi serta mencorak masa depan sektor ini yang lebih
mampan dan inklusif untuk manfaat anggota dan rakyat.

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Datuk Rusli Jaafar, Ketua Pengarah Institut Koperasi Malaysia, Datuk Mohd Ali Mansor, Anggota Lembaga ANGKASA merangkap Ahli Lembaga Cooperative Housing International, Datuk Haji Mohamad Ali Hasan, Anggota Lembaga ANGKASA merangkap Ahli Lembaga ICA, Dato’ Haji Kamarudin Ismail, Anggota Lembaga ANGKASA, Encik Azizul Alias, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ANGKASA, Dato’ Haji Abdullah Haji Jusoh dan Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan
Mohd Mubarak.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button