Abdul Aziz Isa dakwa tidak terima writ saman Kamarul Zaman
PEMBANTU Ahli Parlimen DAP, Abdul Aziz Isa mendakwa beliau tidak pernah menerima writ saman dan notis tuntutan daripada penganalisis politik Kamarul Zaman Yusoff .
Abdul Aziz Isa berkata, dia hanya mengetahui dirinya disaman selepas Kamarul Zaman menghebahkan berita tersebut di Facebooknya semalam.
“Pertama sekali, saya tidak pernah menerima Writ Saman dan Notis Tuntutan (“SOC”) yang dikeluarkan oleh Azril & Associates bagi pihak pensyarah Universiti Utara Malaysia Kamarul Zaman Yusoff (“Penuntut”).
“Oleh itu, saya tidak menyedari jika ada Writ Saman dan SOC bagi pihak Penuntut telah disampaikan kepada saya.
“Kedua, saya hanya mengetahui tentang Penghakiman melalui media sosial apabila Penuntut menyiarkan berita di akaun Facebooknya bahawa penghakiman tanpa kehadiran telah dibuat oleh Mahkamah Tinggi Malaya pada 6 November 2020. Hantaran tersebut dibuat Penuntut pada 23 November 2020,” kata Abdul Aziz Isa dalam satu kenyataan akhbar.
Abdul Aziz Isa yang merupakan pembantu khas kepada Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen berkata, dia akan akan memohon mengenepikan perintah mahkamah untuk membayar RM8 juta kepada penganalisis politik Kamarul Zaman Yusoff sebagai ganti rugi dalam kes saman fitnah.
“Saya masih tertanya-tanya bagaimana keputusan tanpa kehadiran dibuat ketika saya tidak pernah menerima writ saman dan SOC.
“Oleh itu, saya telah berjumpa dengan peguam saya untuk membuat permohonan untuk mengetepikan penghakiman ini,” kata Abdul Aziz Isa.
Kamarul, seorang pensyarah di Universiti Utara Malaysia, semalam berkata beliau memperolehi penghakiman untuk Abdul Aziz membayarnya RM8 juta sebagai ganti rugi kerana menfitnahnya.
Mahkamah turut memerintahkan Abdul Aziz membayar faedah 4% setahun atas ganti rugi itu dan membayar kos tindakan berkenaan RM10,000 kepadanya atas 22 tuduhan fitnah.
Kamarul mendakwa Abdul Aziz menfitnahnya menerusi media sosial dan penulisan artikel yang antara lain mempertikaikan kelayakan akademik beliau dan menggambarkannya sebagai seorang yang sibuk dengan agama orang lain dan goyah iman.
Kamarul turut mengambil tindakan saman fitnah serupa terhadap ahli-ahli parlimen DAP iaitu Chong, Teresa Kok, Lim Kit Siang, Lim Lip Eng and Wong Kah Woh.-SM