Nasionalpilihan

Abang harap adik sesat di Bukit Beruang ditemui

Ahli keluarga seorang lelaki yang dipercayai sesat sewaktu mendaki Bukit Beruang petang semalam mengharapkan adik bongsu daripada empat beradik dapat ditemui selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih belum menemui mangsa.

Abangnya hanya dikenali sebagai Kelvin berkata, kehilangan adiknya Steven Tan Kim Huat, 45, dikesan selepas dia tidak pulang ke rumah di Krubong Jaya sehingga pukul 8.00 malam tadi.

Steven Tan Kim Huat yang hilang sejak petang semalam ketika mendaki Bukit Beruang, Melaka.

 

 

Menurutnya, dia cuba menghubungi adiknya melalui telefon bimbit namun tidak dijawab.

“Apabila beberapa kali gagal menghubunginya, saya dan isterinya terus pergi ke Bukit Beruang dan menemui hanya kereta Suzuki Swift masih berada di parkir di kaki bukit tersebut.

“Selepas itu baru saya menghubungi dan membuat laporan polis di Balai Polis Ayer Keroh serta memaklumkan mengenai kehilangan adik saya,” ujarnya ketika ditemui di sini hari ini.

Kelvin berkata, adiknya yang sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak serta menetap di Kajang telah memaklumkan kepada ibu mereka, bahawa dia ingin mendaki Bukit Beruang kira-kira pukul 4.30 petang.

Katanya, sudah menjadi rutin setiap hujung minggu adiknya akan balik ke Melaka dan akan mendaki Bukit Beruang seorang diri.

“Mendaki adalah salah satu aktiviti sukan yang sering dilakukan oleh Steven dan ini adalah kejadian pertama dia hilang tanpa dapat dikesan,” ujarnya.

Katanya, dia menunggu di tempat kejadian sewaktu anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh, polis dan Angkatan Pertahan Awam Malaysia (APM) memulakan operasi SAR pada pukul 10.00 malam tadi.

Jelasnya, sehingga pukul 2.45 pagi tadi operasi tersebut gagal mengesan sebarang tanda-tanda menemui adiknya walaupun menggunakan Unit Anjing Pengesan (K-9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button