Uncategorized

Ab. Rauf dilantik Presiden baharu MAFA

Ketua Menteri Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh dilantik sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA) yang baharu menggantikan penyandangnya, Datuk Nur Azmi Ahmad berkuatkuasa serta merta.

Timbalan Presiden MAFA, Datuk Yusoff Mahadi berkata, keputusan sebulat suara itu diambil pada Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif MAFA di Wisma MAFA pagi semalam.

Beliau yang mempengerusikan mesyuarat itu berkata, mengikut perlembagaan MAFA pelantikan Ketua Menteri Melaka yang baharu dan secara automatik akan menyandang jawatan Presiden MAFA.

“Pihak Jawatankuasa Eksekutif mengucapkan setinggi tahniah kepada Ab. Rauf yang akan menerajui MAFA demi mengembalikan kegemilangan bola sepak Melaka.

“Semoga dengan sentuhan Ketua Menteri yang baharu dilantik ia akan terus membawa bola sepak Melaka ke tahap yang lebih membanggakan demi meletakkan pasukan ini gah dalam sukan nombor satu dunia ini pada masa hadapan.

“Pihak Jawatankuasa Eksekutif MAFA turut merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada bekas Presiden, Nur Azmi yang memegang jawatan ini sejak Ogos tahun lalu serta telah mencurah bakti kepada bola sepak Melaka,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Yusof yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkata, Nur Azmi telah berjaya menubuhkan kelab bola sepak Melaka FC yang kini bersaing dalam Liga M3 di samping menganjurkan Kejohanan Bola Sepak Piala TYT dan pembangunan akar umbi.

Jelasnya, segala jasa yang dicurahkan oleh bekas Presiden MAFA ketika menerima sokongan untuk memimpin persatuan itu berikutan pengunduran bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali ekoran kemelut Melaka United dan pihak pengurusan KenTeam pada saingan Liga Super musim lalu amat dihargai.

Skuad Sang Kancil kini berada di tangga ketujuh daripada 14 pasukan dalam saingan Liga M3 selepas mengharungi tiga perlawanan setakat ini.

(Visited 33 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button