BeritaPendidikan

UPSI galak penggiat seni hiburan tanahair sambung belajar menerusi APEL Q

DEMI menyahut seruan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk membangunkan masyarakat berpengetahuan tinggi dalam semua sektor industri di Malaysia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bertemu dengan sekumpulan penggiat seni hiburan tanahair bagi mempromosikan peluang melanjutkan pengajian akademik.

Pertemuanqn julung-julung kalinya melibatkan Jawatankuasa Pengurusan Universiti, serta dekan-dekan fakulti dan penggiat industri hiburan tempatan antaranya penyanyi Datuk Nash, Datuk Khadijah Ibrahim, komposer S Atan, Man Kidal, Ayai Ilusi, Baggio Damasutra, Bandi Amuk, Betty Benafe, Raja Nazrin Shah SOG, Keroz Nazri, Dakmie dan Dwan Hamid.

Menurut Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff, UPSI amat mengalu-alukan penyertaan penggiat-penggiat seni hiburan untuk memperkayakan pengalaman dengan meningkatkan tahap akademik menerusi Pengajian Sepanjang Hayat (PSH) yang  diperkasakan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan diterajui Bahagian Hal Ehwal Akademik, Pusat Pembangunan Akademik serta Fakulti Muzik dan Seni Persembahan UPSI.

“Para penggiat seni hiburan merupakan permata yang amat dekat dengan jiwa masyarakat.

Justeru, sebagai sebuah universiti yang cakna terhadap kepentingan pendidikan, UPSI mahu menjadi perintis kepada usaha ini menerusi tawaran Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL Q).

“APEL merupakan kaedah penilaian ilmu yang yang diperoleh daripada pengalaman kerja atau himpunan kursus pendek.

Seterusnya, proses penilaian dilaksanakan terhadap pembelajaran terkumpul  secara formal atau tidak formal,” jelasnya lanjut semasa sesi pertemuan di Hotel Concorde, semalam.

Timbalan Naib Canselor ( Akademik dan Antarabangsa), Prof Dr. Marzita Puteh berkata,  UPSI sangat komited bagi membuka ruang kepada pengamal seni untuk melanjutkan pengajian kerana pengalaman dalam industri boleh dijadikan sebagai sumber rujukan negara.

“Terdapat empat jenis kaedah penilaian akan digunapakai dalam APEL.Q berdasarkan portfolio, ujian cabaran, pengesahan kerja lapangan serta kursus batu penjuru (capstone courses).

“Penilaian-penilaian ini akan mengambilkira ilmu yang diperoleh daripada pengalaman calon pelajar untuk dianugerah kelayakan akademik tanpa perlu melalui proses pembelajaran di kampus. Penilaian adalah berdasarkan kompetensi pelajar dengan Hasil Pembelajaran Program (PLO), sekaligus membuka peluang kepada pengamal seni tempatan untuk mendapatkan kelayakan akademik berdasarkan kepakaran dan pengalaman mereka dalam industri” jelasnya lagi.

Sementara itu Dekan Fakulti Muzik Dan Seni Persembahan (FMSP), Profesor Madya Dr. Muhammad Fazli Taib Saerani berkata, UPSI sedia menampung keperluan keperluan pelajar dengan kemudahan prasarana lengkap seperti kemudahan studio bagi setiap jabatan selain Panggung Budaya untuk altiviti pementasan karya pelajar.

Penyanyi tersohor tanahair, Datuk Nashrudin Elias (Nash) ,62, pelantun lagu “Pada Syurga Di Wajahmu” menyambut baik hasrat UPSI untuk memperkasa taraf pendidikan akademik anak-anak seni hiburan tempatan yang dilihat sebagai titik mula kepada perkembangan industri hiburan tanahair.

“Sebenarnya ramai lagi penggiat seni hiburan tanahair yang amat berminat dan amat komited untuk melanjutkan pengajian tinggi tetapi masih mencari ruang untuk meletakkan diri setanding dengan industri profesional yang lain,” jelasnya semasa sesi pertemuan tersebut.

Sementara itu, penyanyi yang pernah merakam album solo selama empat dekad berturut-turut yang popular dengan lagu “Kupendam Sebuah Duka”, Datuk Khadijah Ibrahim menyifatkan inisiatif yang dilaksanakan oleh KPT, MQA dan UPSI sendiri dinanti-nantikan oleh warga industri seni hiburan sendiri tatkala pelbagai ujian yang sering menimpa nasib anak-anak seni bermula dengan masalah cetak rompak, kemudiannya perlanggaran hak intelek dan muat naik secara tidak sah sehinggalah kemudahan akses capaian penstriman tanpa kawalan secara maya yang tidak menyebelahi pengkarya.

“Menerusi pelbagai pengalaman dan pengiktirafan yang telah diterima  hari ini sekaligus dapat membantu anak-anak seni untuk mendapatkan tempat lebih baik dalam industri serta cabang-cabang lain dalam industri muzik seperti pengajar akademik misalnya.

“Pengiktirafan akademik UPSI sekaligus dapat membantu  melebarkan sayap anak seni ke industri antarabangsa,” jelasnya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button