Politik

UMNO, BN berpeluang cerah menang PRU-15

BARISAN Nasional (BN) berada pada landasan yang tepat untuk kembali memerintah negara
menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Menurutnya, lima momentum sejak BN tumbang dalam PRU-14 merupakan petunjuk membuktikan rakyat lebih percaya terhadap BN untuk kembali memerintah berbanding sewaktu tempoh 22 bulan di bawah Pakatan Harapan (PH).

Ahli Parlimen Pontian itu berkata, BN mula bangkit selepas PRU-14 ialah kemenangan selesa dalam tujuh pilihan raya kecil (PRK) iaitu di Cameron Highlands, Semenyih, Rantau, Tanjung Piai, Kimanis, Chini dan Slim.

Menurutnya, kejayaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menang 38 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dengan UMNO menyumbang 16 kerusi membuktikan BN terus mendapat tempat dalam kalangan rakyat bukan sahaja di Semenanjung.

Katanya, kemenangan dalam PRN Melaka apabila BN menang 21 daripada 28 kerusi termasuk kejayaan di PRN Sarawak apabila Gabungan Parti Sarawak (GPS) menang 76 kerusi dan kejayaan paling bermakna apabila BN menguasai PRN Johor.

“Memang benar dan hakikatnya BN tumbang dalam PRU-14 tetapi kita tidak jatuh tersungkur sebaliknya kita mampu bangkit kembali.

“Lihat lima momentum kebangkitan BN setakat ini dan ia bakal diterjemahkan dalam PRU-15 nanti. Rakyat kini sudah kembali yakin dan mahu kita memerintah Malaysia.

“Seluruh jentera UMNO di 191 bahagian pula sudah membuat persiapan untuk menebus kekecewaan pada PRU-14. Momentum BN terus melonjak dan hanya menanti bila masa Parlimen hendak dibubarkan,” ujarnya.

Beliau berucap sewaktu merasmikan Mesyuarat Agung Kali Pertama UMNO Cawangan Taman Rambai Jaya Fasa 3 di sini semalam.

Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad; Timbalan Ketua, Datuk Abu Bakar Mohd Diah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, Datuk Rais Yasin. Pada majlis tersebut juga Ahmad turut menerima 38 borang keahlian Pemuda UMNO.

Mengulas lanjut Ahmad berkata, penubuhan cawangan-cawangan baru seperti UMNO cawangan Taman Rambai Utama membuktikan rakyat masih percaya terhadap parti itu untuk terus menerajui negara.

Menurutnya, sehingga kini parti itu mempunyai sebanyak 22,000 cawangan UMNO di seluruh negara dan terus bertambah dari masa ke semasa. – SM Melaka

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button