PRK
Trending

Pesan Anifah buat orang Sabah, Shafie Apdal…

BERCAKAP kepada Suara Merdeka dalam satu pertemuan di Kota Kinabalu sebelum bergerak ke Kimanis hari ini, penyandang kerusi Parlimen itu, Datuk Seri Anifah Aman ada pesanan yang ingin dititipkan kepada Ketua Menteri merangkap Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Namun, kata bekas Menteri Luar itu lagi, lebih penting lagi mesej yang ingin disampaikan kepada seluruh 29,664 pengundi yang akan menunaikan tanggungjawab mereka pada pilihan raya kecil Sabtu 18 Januari ini.

Suara Merdeka perdengarkan pesanan Anifah berikut:

1. Mengapa saya tidak bertanding?
– Kalau saya (Anifah) selaku penyandang kerusi bertanding di Kimanis, ia seolah-olah saya ‘mengiktiraf’ keputusan mahkamah yang disebabkan kecuaian Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sehingga membawa kepada PRK Kimanis.
Begini kisahnya: “ Calon Parti Warisan dari Pakatan Harapan (PH), Datuk Karim Bujang saman Anifah yang dipilih rakyat Kimanis selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
“PH kata BN rasuah pengundi. Tetapi calon PH kalah dalam kes mahkamah itu. Anifah bersih namanya dari tuduhan rasuah. Akibatnya, Karim membayar kos guaman RM105,000 kepada Anifah. Keputusan PRU-14 Kimanis dikekalkan.
“Kemudian apa yang berlaku? Calon PH pergi saman SPR pula.
Dia kata SPR ada salah laku semasa PRU-14.
“SPR di bawah Kerajaan PH terus mengaku ada salah laku semasa PRU-14. Maka mahkamah pun arahkan keputusan PRU-14 Kimanis dibatalkan. Berlakulah PRK Kimanis.”
Yang peliknya SPR tidak membuat rayuan atas keputusan mahkamah itu.

2. BN tidak pernah luluskan PSS
– Pas Sementara Sabah (PSS) hanya di peringkat cadangan semasa kerajaan terdahulu diketuai BN.
Ia tidak pernah diluluskan seperti mana dakwaan Parti Warisan.
Kalau Warisan hendak sangat pendatang tanpa izin (PTI), tempatkanlah PTI ini di Pulau Gaya. Kenapa sanggup gadai maruah orang Sabah kerana politik dan kepentingan sendiri?

3. Jangan tipu orang Sabah yang baik
-Orang Sabah baik, cepat percaya dan lupa janji-janji yang tidak dipenuhi kerajaan PH terutama Parti Warisan. Harap pengundi Kimanis tahu bezakan.
Jangan lupa manifesto PH dalam PRU-14, apabila Menteri Kewangan Lim Guan Eng kata Sabah dan Sarawak bukan sahaja boleh mendapat 40 peratus, tetapi 50 peratus pendapatan cukai yang dikutip daripada dua negeri itu.
Tetapi kemudian cakap lain, perlukan ambil masa melaksanakannya kerana tumpuan utama kerajaan ketika ini untuk memulihkan kewangan negara. Inilah sebabnya rakyat Sabah mesti tuntut hak mereka yang dijanjikan PH dalam pilihan raya.

4. Isyarat bahaya anak cucu cicit Sabah?
– Dikhuatiri jika Parti Warisan menang dalam PRK Kimanis ini, ia suatu isyarat jelas rakyat Sabah akan menjadi pendatang di negeri sendiri.
Kelak, orang Sabah hanya memiliki negara tetapi tidak bernegeri. Jika PSS dilaksanakan mulai Jun tahun ini, kad berkenaan boleh diperbaharui dalam tempoh tiga tahun sekali. Dan setiap kali cukup tiga tahun, akan diperbaharui tanpa had untuk dimohon. Justeru apa bezanya PTI dengan seorang warganegara?

5. Kera di hutan disusukan …
– Dianggarkan kira-kira 300,000 (belum termasuk anak-anak) PSS akan dikeluarkan untuk warga asing. Kad PSS ini boleh diperbaharui dalam tiga tahun sekali.
Dalam tempoh tiga tahun ini jika mereka (PTI) ini beranak-pihak, darabkanlah 300,000 ini dengan satu atau dua orang (anak dilahirkan). Berapa bilangan PTI nanti? Tempoh tiga tahun jika ada tambahan 300,000 orang lagi, enam tahun atau sembilan tahun selepas itu berapa?
Bukankah anak-anak PTI ini akan bersaing dengan anak-anak tempatan (warganegara) di sekolah dan hospital? Warganegara Malaysia akan berbaris panjang bersama mereka untuk mendapat rawatan di hospital.
PTI ini membawa kemudaratan antaranya penyakit polio, influenza dan lain-lain. Jangan nanti ibarat `kera di hutan disusukan, anak di pangkuan mati kelaparan’.

6. Pas lawatan sosial cuma tiga bulan, PSS pula?
– Warganegara Malaysia seolah-olah dianaktirikan? Mana tidaknya, pas lawatan sosial untuk penduduk bukan Sabah dari Semenanjung hanya melayakkan mereka masuk dan tinggal di Sabah selama 90 hari atau tiga bulan sahaja. PSS tiga tahun sekali diperbaharui.
Kalau begitu, elok sahaja anda datang dari Filipina, mohon PSS dan tinggal serta bekerja selama tiga tahun di Sabah.

7. PTI layak mengundi
– Kalau jalan raya dibina dan ditambah jajarannya, baguslah.
Tetapi jika PTI bertambah melalui pelaksanaan PSS, ia sudah tentu telah melalui proses demokrasi dalam negara.
Bayangkan di Kota Kinabalu bertambah 20,000 PTI melalui PSS, maka dari segi undang-undang antarabangsa melayakkannya untuk mengundi. Siapa mereka, rakyat Malaysiakah?

8. Trump pun bina tembok Mexico
– Kalau Donald Trump pun sanggup membina
tembok di sempadan Amerika Syarikat- Mexico untuk mengusir pendatang, menyekat orang Arab masuk negaranya, malah pelakon tersohor Bollywood, Shah Rukh Khan pun ditahan untuk pemeriksaan imigresen yang ketat di beberapa lapangan terbang antarabangsa antaranya Los Angeles, White Plain (dekat New York) dan Newark, apa salahnya kita juga bmbangkan PTI yang hendak masuk Sabah melalui PSS ini?

9. Benarkan Filipina buka konsulat?
– Orang Warisan persoalkan kenapa Anifah sebagai Menteri Luar sebelum ini tidak pernah berbincang dengan kerajaan Filipina mengenai urusan membawa balik warga PTI mereka dari Sabah? Atau meminta Filipina tubuhkan konsulat mereka di Sabah untuk menyelesaikan masalah PTI?
Jawapan saya (Anifah), kenapa pula perlu saya berunding kerana Filipina pun tidak pernah mengiktiraf Sabah di bawah Malaysia. Sebaliknya, mereka menuntut Sabah sebagai sebahagian wilayah negara itu. Jika kita berunding seolah-olah kita iktiraf tuntutan Filipina ke atas Sabah. Dan Filipina tidak akan buka konsulat di Sabah, kerana jika mereka berbuat demikian bermakna mereka sudah mengiktiraf Sabah sebagai hak Malaysia.

10. Tunggu dua jam mahu jumpa Shafie
-Mohd. Shafie gagal membawa masuk pembangunan ke kawasan Kimanis.
Pernah saya menunggu selama dua jam di pejabat Mohd. Shafie ketika beliau menjadi Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah bagi memohon projek pembangunan untuk Kimanis.
Dua jam dia keluar…saya tahu dia bukan ada mesyuarat, tapi dia sengaja mahu tunjuk kuasa dia…Dia mahu saya tunggu di luar (pejabat). Saya kira mahu jelaskan, apa (projek pembangunan) yang di Kimanis, apa yang perlu di Membakut, apa yang perlu di Bongawan…dia ambil sampul surat itu dia masuk pejabat tarik pintu…sampai ke pilihan raya tidak ada apa-apa (projek).

11. Jangan `beli’ undi untuk kemudahan asas
-Banyak lagi kawasan Kimanis yang terpencil perlukan kemudahan asas. Kadang-kadang ada hanya empat atau lima buah rumah di sebalik bukit.
Mereka perlukan jalan sehinggakan ingin jalan bertar (aspal) ini sampai di depan rumah. Cuma semasa saya menjadi wakil rakyat di situ, keinginan ini tidak dapat diselesaikan sebegitu cepat, perlu berperingkat-peringkat.
Sebab itu saya ingatkan orang Kimanis, teliti janji-janji Parti Warisan ini. Bukan janji untuk beri kemudahan asas, anda harus mengundi mereka.

12. Siap 2018, balai bomba dirasmi 2020?
-Kerana banyak berlaku kebakaran hutan di jajaran jalan di Kimanis, maka semasa Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menjadi Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan dari 2013-2016, saya minta beliau untuk bantu sediakan Balai Bomba dan Penyelamat di Kimanis.
Beliau Ahli Parlimen Kota Belud waktu itu, Tetapi Rahman kata peruntukan balai bomba hanya untuk daerah. Pada masa itu Kimanis bukan daerah.
Maka, saya kata “Man, you menteri kan…”
Akhirnya, projek balai bomba diluluskan kerajaan BN dengan bajet RM7.73 juta itu siap dibina Julai 2018.
Tetapi setahun setengah kemudian, selepas hari penamaan calon PRK Kimanis pada 4 Januari 2020, Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin merasmikan balai bomba berkenaan. Pelikkan?

13. Shafie anak didik Najib, tapi…
– Cuba kira berapa tahun Mohd. Shafie berada dalam UMNO? Beliau tidak harus menderhaka kepada Najib. Mohd. Shafie anak didikan Najib. Dia antara menteri yang rapat dengan Najib sehingga mencapai tahap Naib Presiden UMNO.
Untuk menunjukkan UMNO Pusat juga bersama UMNO di Sabah, maka dipersoalkan, takkanlah dari Sabah tidak ada kuota untuk salah satu dari tiga jawatan nombor tiga UMNO itu?
Lantas Najib nasihat supaya beri peluang kepada orang UMNO dari Sabah sampai ke peringkat jawatan tinggi. Saya tidak marah kepada Mohd. Shafie tetapi ucapan-ucapannya dalam kempen PRK ini seperti membenci Najib.

14. Mana kelibat SPRM?
– Orang Sabah dikejutkan dengan berita bergambar pada 5 Januari lalu apabila sekurang-kurangnya 50 buah motosikal dan barangan berharga lainnya dijadikan sebagai hadiah cabutan bertuah sempena sambutan Krismas di Pekan Membakut yang dianjurkan oleh Parti Warisan.
Kenapa tidak buat majlis itu sebulan sebelum PRK Kimanis? Di mana kelibat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM)? Adakah apabila pembangkang buat, itu salah. Kerajaan anjurkan sahaja yang betul?
-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button