Nasional

Gabungan pakaian tradisi timur, barat curi perhatian negara luar

IDEA menggabungkan pakaian tradisi dari timur dan barat iaitu kimono dan jaket kardigan, pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Muhammad Faizal Ruhaijat, 22, berjaya merangkul juara program Taikun Muda, sebuah rancangan realiti TV berbentuk keusahawanan terbitan TV Alhijrah.

Pelajar semester tiga Ijazah Sarjana Muda bidang Seni Persembahan (Teater) memanjatkan rasa syukur dan teruja apabila dinobatkan sebagai pemenang tempat pertama.

“Sebagai seorang pelajar bidang teater, saya tak sangka mampu beri saingan kepada tiga lagi finalis yang mempunyai latar belakang dalam bidang keusahawanan.

“Mungkin kejayaan ini adalah berkat meneruskan legasi arwah ibu Siti Aisyah Bakri seorang peniaga makanan yang telah meninggal dunia pada tarikh sama hari ini, dua tahun lalu,” jelasnya.

Mengangkat tema batik Malaysia, inovasi yang dihasilkan Faizal bukan sahaja menarik hati juri malah berjaya mengikat perjanjian jualan dengan syarikat tempatan sekali gus menarik minat syarikat dari Korea Selatan untuk melabur.

Dia juga bercita-cita mahu meneruskan operasi jenama syarikat makanan dan minuman Manis Qietchen Enterprise di sekitar Tanjung Malim berhampiran kampus tempat pengajiannya.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UPSI, Profesor Madya Dr. Norkhalid Salimin berkata kejayaan yang dikecapi Muhammad Faizal menjadi contoh teladan kepada penerapan budaya BAIKK iaitu ‘Bangga UPSI’ dan ‘Kreatif & Inovatif’ yang disarankan kepada para pelajar UPSI.

Sementara itu Naib Canselor UPSI Profesor Md Amin Md Taff turut mengucapkan tahniah atas kecemerlangan pelajar dan jasa usaha Jabatan Hal Ehwal Pelajar,  serta Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (EDGE) serta Fakulti Muzik & Seni Persembahan  UPSI yang memberi sokongan terhadap kemenjadian mahasiswa yang berkorban untuk menjulang nama universiti bertuah.

Pentas akhir Taikun Muda yang bersiaran secara langsung di TV Alhijrah turut menyaksikan finalis Adlina Jamaludin dari Universiti Putra Malaysia di tempat kedua dengan membawa pulang hadiah RM 20,000 beserta sijil dan trofi.

Tempat ketiga pula dimenangi penuntut Universiti Malaya, Shafiq Rami Yani membawa pulang wang tunai berjumlah RM 2,500, motosikal Yamaha bernilai RM 7, 500 berserta trofi dan sijil penyertaan. Wakil Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Muhammad Yazid Abdul Mutalib mewakili membawa pulang wang tunai berjumlah RM 1, 500, motosikal Modenas bernilai RM 3, 500.

Kesemua hadiah disampaikan oleh Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Menteri Pendidikan Tinggi. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button