Rencah Hidup

Demi cintaku padamu: Lelaki gadai nyawa dayung bot getah nak jumpa isteri

Merisikokan diri di Laut Andaman melalui Teluk Bengal

Demi cintaku padamu
Ke mana pun kau kan kubawa
Ke hujung dunia ke bintang kejora
Demi cintaku padamu
Kukorbankan jiwa dan raga
Biarpun harus kutelan lautan bara
Bulan madu di awan biru
Tiada yang mengganggu
Bulan madu di atas pelangi

CINTA atau obses dalam diri seorang lelaki sehingga sanggup mendayung bot getah membelah Laut Andaman melalui Teluk Bengal mengambil masa 625 hari untuk bertemu nyawanya iaitu isterinya yang berada di India.

Tindakan nekadnya itu bagaimanapun tidak tercapai apabila dia diselamatkan Pegawai Taman Negara Kepulauan Similan. Ini kerana tindakan lelaki itu bukan sahaja mengundang bahaya tetapi nyawanya juga boleh melayang ditelan laut.

Masih mempunyai kudrat mendayung, lelaki berusia 37 tahun berasal dari bandar Ho Chi Minh, Vietnam mula mendayung bot getah yang lengkap dengan stok mi segera dan air putih dari Phuket, Thailand.

Dia sempat berada di laut terbuka selama 18 hari dan mahu mendayung sejauh 2,000 kilometer kerana tidak tertanggung rasa rindu terhadap isteri yang tidak ditemuinya selama dua tahun sejak pandemik Covid-19 melanda.

Kelmarin, Pegawai Pemerintah Kawasan Tentera Laut Ketiga Tentera Laut Diraja Thai dan pegawai Taman Negara Kepulauan Similan menyelamatkan lelaki itu, kira-kira 80 kilometer dari pantai selepas dimaklumkan oleh nelayan tempatan.

Dalam satu kenyataan, Pegawai Pemerintah Kawasan Tentera Laut Tiga Tentera Laut Diraja Thai berkenaan berkata, lelaki itu merancang untuk mendayung dari Phuket ke India, menyeberangi Laut Andaman melalui Teluk Bengal dengan bot getahnya berukuran 2.5 meter.

Media tempatan melaporkan pelayaran itu akan mengambil masa sekitar 625 hari untuk sampai ke pantai India.

Menurut kenyataan itu lagi, pegawai menemui sedozen pek mi segera, satu tangki air dan bagasi di atas bot itu.

Pasukan penyelamat membawa lelaki berkenaan ke Taman Negara Kepulauan Similan untuk tindakan lanjut.

Pada 2 Mac lalu, lelaki itu mengambil penerbangan dari Saigon ke Bangkok, Thailand dan cuba mendapatkan penerbangan ke Mumbai, lokasi isterinya tinggal.

Bagaimanapun, rancangannya tidak menjadi kerana dimaklumkan dia memerlukan visa.

Kemudian dia memutuskan untuk mendayung dari Phuket ke India. Lelaki itu menaiki bas ke pulau peranginan itu dan membeli bot getah di situ dan memulakan pelayarannya pada 5 Mac.

Dalam halaman Facebook, Pegawai Pemerintah Kawasan Tentera Laut Tiga Tentera Laut Diraja Thai menyiarkan foto lelaki itu dengan kapsyen “seluas manapun lautan, tidak dapat menghalang cinta sejati lelaki ini”. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button